AMANAH Raya Berhad (AmanahRaya) menerima Sijil Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) MS 1S0 37001:2016 sebagai bukti komitmen teguh dalam memperkukuhkan budaya integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan organisasi.
Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata, sebagai agensi kerajaan yang telah beroperasi lebih daripada satu abad, AmanahRaya sentiasa menitikberatkan amalan tadbir urus yang baik dalam setiap aspek perkhidmatan.
“Kepercayaan rakyat Malaysia terhadap profesionalisme AmanahRaya terbukti di mana sejak penubuhannya AmanahRaya telah mengurus lebih 1.1 juta wasiat, lebih 350,000 kes Pentadbiran Pusaka dan 67,000 fail amanah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM21 bilion.
“Kini, AmanahRaya sedang menguruskan lebih 13,000 kes pusaka dan lebih kurang 41,000 fail amanah, dengan jumlah nilai dianggarkan RM3 bilion,” ujar beliau dalam kenyataan.
Katanya, pencapaian tersebut mengukuhkan lagi keperluan untuk memastikan sistem pengurusan yang lebih telus dan berintegriti dalam organisasi.
“Pensijilan ini mencerminkan komitmen AmanahRaya dalam mencegah sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dan meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap ketelusan operasi syarikat.
“Dengan adanya sistem kawal selia yang lebih ketat, AmanahRaya akan dapat mengekalkan kepercayaan pelanggan dan memastikan kelangsungan perniagaan yang mampan,” ujarnya.
Terdahulu, sijil disampaikan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam sebuah acara rasmi di Kuala Lumpur. – WILAYAHKU