Berita

AMANAH Johor sasar bertanding 20 kerusi DUN

- Diterbit 4 November 2024 2:35 PM MYT

AMANAH mensasarkan untuk bertanding 20 daripada 56 kerusi DUN Johor pada pilihan raya akan datang kerana Barisan Nasional (BN) tidak mahu membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad berkata keputusan itu diambil sebagai tanda tidak bersetuju dengan kepimpinan BN negeri itu walaupun selepas menang dalam PRK Mahkota baru-baru ini.

“Kami tegaskan sekali lagi bahawa keputusan dari AMANAH Johor ini adalah disebabkan tiada rundingan langsung berkenaan Kerajaan Perpaduan dari pihak BN hingga tarikh kenyataan media ini dikeluarkan.

“Kami telah menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 12 ke 20 kerusi dari 56 kerusi DUN yang berada di negeri ini samada kita bersama dengan BN atau bersama dengan gabungan asal Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Dzulkefly berkata AMANAH Johor akan membawa keputusan itu kepada kepimpinan tertinggi partinya dan PH.

Beliau juga tidak menolak dengan sasaran itu kemungkinan akan berlakunya pertandingan tiga penjuru antara PH, BN dan Perikatan Nasional (PN) di Johor pada pilihan raya akan datang.

Menurut Dzulkefly, AMANAH Johor telah mengenal pasti antara DUN sasarannya yang akan menjadi pilihan dalam mencapai objektif selain mengekalkan satu kerusi yang sedia ada iaitu DUN Simpang Jeram.

Pada PRN Johor 2022, UMNO menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi.

PN pula menang tiga kerusi dengan Bersatu dua, manakala PAS satu kerusi. Sementara Muda juga menang satu kerusi.

Kerajaan Perpaduan diwujudkan di peringkat Persekutuan dan di Pahang, Perak dan Selangor oleh gabungan PH-BN. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas