Agama

Amalan kronisme, nepotisme perbuatan khianat jejaskan organisasi, ketepi hak orang berhak

ISU kronisme menyebabkan kehilangan kepercayaan kepada pengurusan organisasi
- Diterbit 9 Disember 2024 5:01 PM MYT

AMALAN kronisme yang mementingkan teman rapat dalam pelantikan sesuatu jawatan mahupun pemberian projek tanpa menilai kelayakan dan pengalaman yang diperlukan merupakan perbuatan khianat dan berisiko menjejaskan sesebuah organisasi.

Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Sarip Adul berkata, kronisme melibatkan pengambilan atau kenaikan pangkat seseorang individu yang tidak semestinya sesuai untuk sesuatu pekerjaan.

“Ia diberikan hanya kerana individu tersebut merupakan kawan atau kenalan seseorang yang mempunyai kedudukan yang berkuasa dan amalan nepotisme, di sebaliknya, melibatkan memberi keutamaan kepada ahli keluarga, tanpa mengira kelayakan atau pengalaman mereka.

“Kedua-dua perkataan sinonim dengan amalan yang melibatkan pilih kasih dan layanan istimewa atau utama terhadap kenalan, rakan atau ahli keluarga dan membuat keputusan bukan berdasarkan merit atau kelayakan,” katanya kepada Wilayahku.

Sarip menjelaskan bahawa amalan kronisme sangat merbahaya kerana mengenepikan hak untuk orang yang berhak dengan melantik orang yang tidak berkelayakan dalam jawatan atau pemberian projek.

“Ia termasuk sebagai perbuatan khianat kerana setiap orang diamanahkan untuk memastikan hanya yang terbaik dibawa masuk ke dalam organisasi atau melaksanakan sesuatu projek berdasarkan merit yang telah ditetapkan oleh organisasi.

“Antara kesan kepada individu kemungkinan pihak yang diberikan jawatan tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik kerana diterima bekerja bukan kerana kelayakan tapi kerana kabel orang dalam. Juga boleh melemahkan motivasi pekerja lain kerana tidak diberikan tanggungjawab yang sama sedangkan mereka mungkin lebih berkelayakan,” katanya.

Menurut Sarip, Rasulullah SAW telah mengingatkan umatnya tentang bahaya melantik seseorang atas dasar kronisme.

“Menurusi sepotong hadis bermaksud: “Sesiapa yang bertanggungjawab melantik Muslim yang lain untuk sesuatu jawatan, tetapi dia melantik melalui cara kecintaan (favoritisme) terhadap seseorang itu, maka laknat Allah ke atasnya.” – Riwayat Ahmad (21)

“Meskipun hadis bersanad dhaif, tetapi pengajaran yang dapat diperoleh adalah selari dengan dalil Al-Quran dan hadis-hadis yang lain agar berlaku adil walaupun terhadap ahli keluarga sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan amalan kronisme dan nepotisme menjadi satu kesalahan jika melantik seseorang itu hanya kerana dia mempunyai hubungan kekeluargaan dan menafikan hak orang lain yang lebih berkelayakan.

“Rasulullah SAW dalam pemilihan pemimpin dan pegawai, Baginda memastikan hanya orang-orang yang layak sahaja yang akan dilantik dan diserahkan amanah.

“Baginda SAW bersabda maksudnya: Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat (Riwayat al-Bukhari),” katanya.

Menurut Sarip, setiap organisasi berisiko berdepan kesan negatif pada kakitangan jika isu kronisme ini tersebar dan melarat serta menyebabkan kehilangan kepercayaan pada pengurusan organisasi.

“Motivasi pekerja juga akan jatuh dan untuk jangka panjang, prestasi organisasi akan merudum dan hasil kerja yang diterima berada di bawah taraf sepatutnya.

“Antara kesan lain pada organisasi, boleh mewujudkan persekitaran kerja yang toksik, penglibatan pekerja yang rendah dan kadar pusing ganti yang tinggi,” katanya.

Menurut Sarip, Rasulullah SAW sangat mementingkan merit dalam pelantikan sesuatu jawatan dan ia selari dengan prinsip Islam sewaktu Khalid al-Walid dilantik sebagai panglima perang.

“Baginda menyebut kelebihan Khalid menerusi sepotong hadis maksudnya: ‘Sebaik-baik hamba Allah adalah Khalid Ibn al-Walid, sebilah pedang daripada pedang-pedang Allah’ (Riwayat al-Tarmizi),” katanya.

Jelas beliau, menerusi hadis berkenaan dapat digambarkan bahawa Rasulullah SAW sangat berpegang kepada merit dalam semua pelantikan hatta jika melibatkan orang terdekat seperti pelantikan Usamah bin Zaid, cucu angkat Baginda untuk mengepalai angkatan tentera memerangi tentera Rom.

“Walaupun peringkat awal kurang dipersetujui oleh beberapa orang sahabat namun Baginda kekal dengan keputusan melantik Usamah kerana baginda mengetahui Usamah layak berada di posisi tersebut walau baru berusia 18 tahun.

“Usamah sudah terkenal dengan semangat juang sejak kecil. Pernah menawarkan diri berperang bersama Nabi SAW dalam Perang Uhud, namun permohonannya ditolak kerana usianya terlalu muda. Namun selepas itu Baginda membenarkan Usamah turut serta dalam semua peperangan yag disertai oleh Rasulullah SAW,” katanya.

Dalam pada itu, Sarip menyatakan kaedah yang boleh dilakukan supaya pemilihan dan kenaikan pangkat dalam sesebuah organisasi dilaksanakan berdasarkan kelayakan dan prestasi dengan mewujudkan dasar yang jelas dan telus untuk pengambilan dan kenaikan pangkat.

“Organisasi perlu menetapkan kriteria objektif untuk menilai calon dan memastikan kriteria ini digunakan secara konsisten. Dasar ini harus berdasarkan kriteria yang jelas seperti kemahiran, kelayakan dan pengalaman, bukannya hubungan peribadi.

“Selain itu, organisasi di Malaysia juga boleh menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti dengan kerap membuat audit pada prosedur dan pelaksanaan pemilihan pekerja atau kenaikan pangkat yang telah dilaksanakan. Proses ini juga perlu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam proses membuat keputusan,” katanya.

Tambahnya, strategi lain yang dapat digunakan adalah dengan melaksanakan dasar yang menghalang individu daripada mempunyai konflik kepentingan.

“Perkara ini boleh dicapai melalui mewujudkan peraturan yang melarang kakitangan daripada menerima hadiah atau bantuan individu atau syarikat yang mereka kawal.

“Namun, semua perkara ini terpulang kepada setiap organisasi untuk memutuskan cara menangani isu kronisme dan nepotisme,” katanya.

Ujar beliau, budaya atau kes kronisme yang berlaku dalam sesebuah institusi akan merosakkan prestasi sesebuah organisasi dan menyebabkan wujud isu ketidakpercayaan masyarakat terhadap institusi tersebut.

“Sekiranya organisasi tersebut terlibat dengan perniagaan, menjaga reputasi sama penting dengan menjaga pusingan modal. Kedua-duanya penting dalam menjana keuntungan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas