Agama

Amalan berkabung: Kenali beza budaya, agama

BUDAYA banyak mempengaruhi cara masyarakat memperingati seseorang yang telah meninggal dunia. - Gambar hiasan
- Diterbit 5 November 2024 12:10 PM MYT

PERKABUNGAN mempunyai prinsip yang jelas, berfokus kepada menunjukkan kesedihan dengan tenang tanpa berlebih-lebihan. Meskipun hukumnya adalah harus, Islam menegaskan keperluan untuk menjaga kesopanan dan melarang ratapan yang melampaui batas.

Menurut Daie Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Lutfil Hadi Normanirzam, perkabungan yang diboleh adalah sepertimana seorang isteri yang kehilangan suami boleh berkabung selama tiga hari bagi menunjukkan kesedihan dan kesetiaan kepada suaminya yang telah meninggal dunia.

“Negara kita juga pernah berkabung ketika peristiwa yang menyayat hati seperti menurunkan separuh bendera ketika memperingati tragedi pesawat MH17 yang ditembak pemberontak Ukraine dan kehilangan pesawat MH370.

“Selain itu, negara kita juga pernah kehilangan beberapa tokoh negarawan seperti pemimpin negara, artis legenda, atlet dan beberapa tokoh politik di mana kita memperingati mereka dengan moment of silent (kepada non-muslim) dan menyedekahkan Al-Fatihah kepada mereka yang beragama Islam dan amalan tersebut dibenarkan dengan tidak berlebih-lebihan,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Menyentuh mengenai penyanyi antarabangsa Liam Payne yang meninggal dunia dan diratapi oleh peminatnya di seluruh dunia termasuk Malaysia, beliau berkata sebagai umat Islam, penting untuk mengenali perbezaan antara budaya dan agama.

“Banyak budaya mempengaruhi cara masyarakat memperingati seseorang, namun dalam Islam amalan agama tetap sebagai panduan utama. Islam menekankan kewajipan seperti solat dan doa untuk yang telah meninggal, bukannya ritual yang menyerupai amalan bukan Islam.

“Memahami batas antara budaya dan agama membantu umat Islam menjaga identiti dan keyakinan mereka selain budaya adalah apa yang diturunkan melalui adat resam sesuatu bangsa, manakala kewajipan agama adalah yang berlandaskan melalui Al-Quran, Hadis, Ijma’, Qiyas dan ijtihad ulamak Islam yang selama berusaha menjaga kesucian agar tidak berlaku pelanggaran dalam aspek syariat,” katanya.

Terdahulu, segelintir peminat penyanyi berkenaan dilaporkan akan turut menganjurkan majlis perkabungan di beberapa negara termasuk di Indonesia dan Malaysia yang melibatkan ritual tertentu telah mengundang rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.

Jelas beliau, mengikuti ritual bukan Islam boleh menimbulkan kekeliruan tentang nilai dan kepercayaan agama dalam kalangan umat Islam selain berpotensi melemahkan hubungan mereka dengan prinsip agama yang sebenar mengundang ketidakpastian dan konflik dalam masyarakat.

“Jika dibiarkan, ia boleh menjejaskan keutuhan dan kekuatan komuniti Islam dan membawa kepada perpecahan serta pelanggaran terhadap nilai-nilai utama yang diajarkan dalam Islam.

“Melalui surah Nuh ayat 23, Allah SWT menyebutkan kesalahan terbesar yang menyebabkan kemurkaan-Nya adalah disebabkan oleh penyembahan berhala; mensyirikkan Allah. Nama-nama berhala itu sebenarnya adalah nama orang-orang yang baik-baik dan soleh dari kaum Nabi Nuh. Setelah mereka mati, syaitan telah ilhamkan kepada mereka yang kemudian, untuk mengingati orang-orang soleh itu dengan buat patung mereka.

“Tujuannya supaya apabila melihat gambar atau patung orang-orang soleh itu, mereka mempunyai semangat berbuat kebaikan seperti orang soleh itu juga. Mereka beri nama mengikut nama-nama asal orang-orang soleh itu. Tapi akhirnya rupa patung itu ada jadi dalam bentuk manusia dan dalam bentuk binatang pula dan daripada mulanya hendak mengingati orang-orang soleh, terus bertukar menjadi penyembahan yang mensyirikkan Allah SWT,” katanya.

Dalam menangani perkara ini, Lutfil Hadi berkata program pendidikan agama boleh mengintegrasikan modul khas tentang perkabungan dan cara menghormati yang meninggal dengan cara yang mematuhi syariat.

“Pihak berkuasa agama perlu mengadakan kelas yang meliputi topik-topik seperti ini dalam masyarakat atau menyediakan artikel, ceramah dan bahan rujukan boleh memberikan kefahaman yang jelas kepada umat Islam tentang amalan yang sesuai. Mendidik generasi muda sejak awal akan membantu mereka membezakan antara adat budaya dan keperluan agama.

“Umat Islam juga sewajarnya merujuk kepada sumber-sumber tepat yang membantu kita sepertimana platform Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang membantu orang ramai mengulas isu terkini dengan nas-nas yang tepat,” katanya.

Katanya lagi, penggunaan media sosial dan teknologi moden menawarkan platform yang luas untuk menyebarkan pengetahuan Islam.

“Dengan menggunakan video pendek, infografik dan artikel digital, ajaran mengenai amalan Islam yang betul dapat disampaikan dengan mudah dan pantas.

“Pendekatan ini dapat menarik perhatian lebih ramai orang khususnya golongan muda serta mengurangkan penyebaran salah faham atau amalan yang bercanggah dengan Islam,” katanya.

Tambah Lutfil Hadi, ibu bapa dan keluarga serta masyarakat mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk dan mengukuhkan identiti agama dalam kalangan umat Islam khususnya generasi muda yang bakal memimpin negara ini.

Mereka boleh menjadi contoh dalam mengikuti amalan perkabungan yang betul seperti menunjukkan amalan melalui doa dan ziarah.

“Dengan membina suasana yang mementingkan ajaran Islam, keluarga dan komuniti dapat memastikan ahli-ahlinya mengikuti nilai-nilai agama yang sesuai, sambil menghindarkan mereka dari amalan yang bercanggah dari ajaran Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Lutfil Hadi  berkata pemimpin agama dan pendidik perlu memainkan peranan dan mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh kefahaman umat Islam mengenai amalan perkabungan yang betul.

“Mereka boleh menjelaskan dengan jelas tentang larangan dalam Islam terhadap ratapan melampaui batas dan kepentingan menjaga kesederhanaan.

“Dengan menggunakan ceramah, kelas agama dan perbincangan dalam talian, mereka dapat menekankan kepentingan mengikuti ajaran Islam yang betul sambil menyingkirkan amalan yang tidak berlandaskan Islam,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas