Fokus

Amal langkah lihat, hidu, rasa sebelum makan

Gambar hiasan
- Diterbit 9 Julai 2024 3:14 PM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

KES keracunan makanan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia namun apa yang merisaukan ia sering terjadi kepada murid sekolah dan mampu mengundang maut.

Sebagai contoh, baru-baru ini seramai 82 individu mengalami gejala keracunan makanan manakala dua disahkan maut selepas dipercayai memakan bihun goreng dan telur yang disediakan untuk program di sebuah sekolah agama di Selangor.

Menurut Pengamal Perubatan, Dr Amalina Azmi, kebiasaannya keracunan makanan berlaku disebabkan bakteria, parasit, toksin dan kuman yang disebarkan daripada bahan tercemar seperti air kotor, kencing atau najis tikus, lalat dan lipas atau logam berat seperti racun rumpai serangga dan sebagainya.

“Antara jangkitan bakteria biasa ialah Salmonella. Salmonella lazimnya ditemui pada telur mentah ataupun separa masak yang merebak melalui ayam betina yang telah dijangkiti. Bakteria itu kemudian merebak ke dalam telur yang dihasilkan sebelum kulit terbentuk.

“Selain itu, ia juga merebak pada kulit telur yang mungkin telah dicemari Salmonella pada najis ayam,” ujarnya.

Beliau berkata antara simptom disebabkan Salmonella adalah cirit-birit, muntah, demam dan sakit abdomen yang akan mula dirasai dalam masa enam jam selepas memakan makanan yang dicemari bakteria itu dan boleh berlarutan sehingga empat ke tujuh hari.

“Individu yang mempunyai sistem daya ketahanan tubuh yang lemah boleh mengalami simptom dehidrasi yang teruk akibat muntah dan cirit-birit yang berterusan yang boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.

“Golongan berisiko adalah kanak-kanak berusia kurang lima tahun, pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, pesakit HIV, pesakit yang menjadi penerima organ, wanita hamil, pesakit kanser yang menjalani rawatan dan warga emas yang berusia lebih 65 tahun,” ujarnya.

Beliau berkata selain daripada Salmonella, bakteria Bacillus cereus juga boleh menyebabkan keracunan makanan sehingga membawa maut dalam masa yang singkat.

“Bakteria ni menyebabkan keracunan yang akut dengan menghasilkan dua jenis toksin yang bertindak ke atas sistem penghadaman manusia dengan sindrom muntah dan cirit-birit.

“Apabila bakteria ini keluarkan toksin cereulide dalam makanan yang dijangkitinya, pesakit akan loya dan muntah dalam tempoh 30 minit hingga lima jam selepas mengambilnya.

“Biasanya dalam tempoh 24 jam, baru simptom akan hilang. Pada masa yang sama, makanan itu yang akan turun ke saluran usus menghasilkan enterotoxin. Toksin ini akan buatkan pesakit cirit-birit dan boleh disertai dengan mukus atau darah dan sakit abdomen,” ujarnya.

Beliau berkata kesan daripada enterotoxin boleh dirasai dalam masa lapan ke 16 jam selepas makanan dimakan dan simptom akan pulih dalam 12 ke 24 jam.

Bacillus cereus selalunya dijumpai dalam tanah dan boleh menghasilkan spora yang boleh bertahan walaupun dimasak. Dalam keadaan yang kondusif, spora ini boleh bercambah dan membiak menjadi Bacillus cereus yang vegetatif.

“Toksin cereulide yang dihasilkan oleh Bacillus cereus juga mampu menahan haba. Biasanya boleh ditemui dalam makanan berkanji seperti nasi, mi, pasta atau bihun,” ujarnya.

Amalina berkata simptom cirit-birit yang terhasil dari enterotoxin akibat Bacillus cereus dikaitkan dengan makanan yang mempunyai daging, sup, sos dan susu.

“Kebanyakan pesakit akan sembuh dengan sendirinya dalam tempoh satu ke dua hari dalam kes keracunan membabitkan Bacillus cereus. Namun begitu, terdapat kes yang jarang berlaku dan menyebabkan kematian seperti yang telah dilaporkan dalam jurnal saintifik.

Bacillus cereus ini ada dalam persekitaran kita. Kita tidak boleh lari daripadanya tetapi kita boleh mengambil langkah-langkah untuk mencegah dari dijangkiti,” ujarnya.

DAPATKAN RAWATAN AWAL

SIMPTOM keracunan makanan yang terjadi selepas seseorang itu mengambil sesuatu makanan tidak boleh diambil ringan kerana kelewatan mendapatkan rawatan boleh mengancam nyawa.

“Apabila mengalami keracunan makanan, rawatan awal adalah perlu untuk pastikan badan kita tidak dehidrasi dan jika simptom dehidrasi sudah mula kelihatan seperti pucat, lidah mulai putih, bawah mata juga putih macam kurang darah, segeralah dapatkan rawatan sebelum keadaan menjadi semakin parah,” ujarnya.

Beliau berkata dalam mencegah berlakunya keracunan makanan, orang ramai serta pengendali makanan mempunyai tanggungjawab masing-masing dan boleh melakukan penilaian kendiri apabila ingin membeli makanan di luar.

“Biasanya musim cuti sekolah ramai orang akan keluar dan makan di luar dan sudah semestinya akan ada risiko mengalami keracunan makanan, jadi apa yang kita boleh buat adalah dengan memastikan persekitaran kedai bersih.

“Amalkan tiga langkah iaitu lihat, hidu dan rasa sebelum makan. Jika ada bau, rasa dan tekstur yang kelihatan tidak normal elakkan makan. Bagi pengendali makanan pula, jangan biarkan bahan makanan atau makanan yang telah siap dalam keadaan yang terdedah.

“Elakkan menjual makanan yang tidak habis dan anggaplah kita sediakan makanan untuk keluarga, jangan hanya fikir untung semata-mata. Siapa sangka hanya sebungkus sandwic boleh meragut nyawa,” ujarnya.

Dalam masa sama, Amalina turut menyarankan pihak yang mengendali makanan agar lebih peka dalam aspek penyediaan makanan dalam menangani isu-isu berkaitan keracunan makanan.

“Penyediaan daripada bahan tercemar dan membiarkan makanan terdedah dalam jangka masa lama juga menjadi antara faktor risiko tinggi berlakunya keracunan hingga boleh membawa maut. Disebabkan itu, cara pengendalian makanan amat penting bagi memastikan hidangan disediakan selamat serta bebas daripada sebarang pembiakan bakteria.

“Selain itu, pengusaha makanan juga perlulah mematuhi aspek kesihatan yang telah digariskan pihak berwajib termasuklah memastikan kebersihan makanan, mengikuti kursus pengendali makanan dan mengambil suntikan pelalian tifoid agar tidak menimbulkan sebarang masalah yang tidak diingini.

“Apa pun keracunan makanan khususnya di kantin dan dapur asrama sekolah boleh dielakkan
jika pengusaha memantau kebersihan, mengambil tahu sumber bekalan makanan serta menyelia proses penyediaan makanan mengikut garis panduan disediakan pihak berwajib.

“Ia merupakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan bukan sahaja daripada pihak sekolah bahkan ibu bapa yang tidak berkesempatan menyediakan bekal buat anak-anak mereka ke sekolah,” ujarnya.

Tambah Amalina, sudah sampai masanya satu pendekatan secara tuntas dapat dilaksanakan oleh pihak-pihak berkepentingan dalam mengawal selia premis-premis penyediaan makanan agar kes keracunan makanan ini tidak lagi menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

“Bukan itu sahaja, ibu bapa mahupun pengusaha makanan juga perlu memainkan peranan masing-masing agar lebih cakna dalam hal-hal penyediaan makanan bagi memastikan statistik keracunan makanan dapat dikekang dan dikurangkan sekali gus memastikan anak-anak serta masyarakat dapat menjalani sebuah kehidupan yang sihat melalui pemakanan seimbang dan selamat.

“Saya juga ingin sarankan agar kita dapat mengamalkan lima kunci keselamatan makanan yang mudah sebagaimana disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan berlakunya keracunan makanan bermula dengan menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan, gunakan peralatan yang bersih, masak makanan dengan sempurna, simpanan makanan pada suhu yang bersesuaian dan tidak melebihi tiga hari di dalam peti sejuk serta gunakan bahan yang segar dan air yang bersih untuk memasak,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas