Berita

Alyph terharu duet dengan Ziana

- Diterbit 24 Januari 2025 12:26 PM MYT

HASRAT komposer dan penyanyi Singapura, Alyph untuk berduet dengan Ziana Zain tercapai apabila diva tersohor itu bersetuju menyumbangkan suaranya untuk dua lagu Teman dan Gerak dalam album The Storm.

Menurut Alyph atau nama sebenarnya Alif Abdullah, 36, saat menyiapkan lagu itu, hanya nama Ziana Zain yang terlintas difikirannya.

“Ketika menyiapkan kedua-dua lagu itu, dalam fikiran saya tidak ada orang lain melainkan Ziana.

“Tapi saya bersedia jika Ziana menolak kerana mungkin tidak selesa dengan konsep dan jalan cerita lagu itu, tapi syukur Ziana terima.

“Semestinya saya merasa amat bertuah apabila Ziana setuju untuk nyanyikan lagu saya dan alhamdulillah proses rakaman hanya mengambil masa sehari saja,” katanya.

Semua lagu di dalam album itu dihasilkan daripada kisah benar dan dicampur aduk dengan pelbagai cerita lain bagi mencipta pengalaman baharu yang sesuai untuk beraneka emosi.

The Storm adalah sudut pandang Alyph terhadap masa lalu, sekarang, dan masa hadapan.

“Ia meleraikan kisah menempuh kedewasaan yang saya pelajari daripada ibu saya.

“Sebahagian besarnya berputar dalam aspek kemegahan diri, kasih sayang, dan penderitaan,” katanya.

Selain Teman dan Gerak, lagu lain yang turut dimuatkan dalam album itu adalah Sorok Muka, Red Flags, Saham Naik, Birthday Girl, The Line, Bestfriend Part 2, Ingat, Mekar, Dari Jauh dan Siapa Yang Ajar?

The Storm mula berada di pasaran pada hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas