Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Alternatif tangani banjir kilat di Brickfields

- Diterbit 28 Jun 2024 10:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam perancangan untuk melaksanakan satu projek bagi kerja-kerja mempertingkatkan sistem saliran di Brickfields khususnya di Jalan Sultan Abdul Samad dan kawasan sekitarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata alternatif yang sedang diteroka adalah dengan mengenal pasti kawasan tanah untuk pembinaan On Site Detention (OSD) di jajaran Sungai Klang di sekitar kawasan tersebut.

“Projek OSD merupakan kaedah kawalan di lokasi yang akan menampung lebihan taburan hujan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat yang tertakluk kepada ketersediaan tanah di lokasi projek.

“Projek tersebut kini dalam proses akhir untuk dilaksanakan dan dijangka boleh dimulakan sebelum penghujung tahun 2024 ini dan selesai selewat-lewatnya pada penghujung tahun 2026,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dalam sesi jawapan lisan di Parlimen pada Isnin.

Katanya, DBKL telah menaik taraf kerb outlet sedia ada bagi melancarkan aliran air di sekitar Jalan Sultan Abdul Samad serta berhampiran kawasan Gereja Our Lady of Fatima, Brickfields.

“Ini bagi memastikan kapasiti sistem saliran longkang sedia ada dan sekitarnya terus berada dalam keadaan paling optimum bagi mengurangkan risiko seterusnya mengelakkan insiden sama berulang,” katanya.

Zaliha berkata pada masa yang sama, DBKL juga telah melantik perunding untuk mengkaji masalah banjir kilat di sekitar Jalan Sultan Abdul Samad tersebut.

“Berdasarkan kajian didapati antara punca lain yang menyumbang kepada insiden banjir kilat yang berlaku di lokasi adalah disebabkan oleh isu kapasiti kuasa pam berhampiran Sungai Klang yang tidak mencukupi serta kapasiti longkang yang tidak lagi mampu menampung air hujan apabila hujan berintensiti tinggi berlaku.

“Kajian awalan banjir ini telah dijalankan bermula pada 18 April 2022 dan mengambil masa selama lapan bulan untuk diselesaikan dan mendapati sistem saliran di sekitar lokasi tidak dapat menampung jumlah hujan yang tinggi malah kapasiti pam sedia ada di lokasi tidak lagi mampu menampung aliran takungan air yang berlebihan,” katanya.

Menurut Zaliha, DBKL dan Alam Flora Sdn Bhd (AFSB) sentiasa mengambil tindakan segera bagi memastikan kelancaran aliran air dalam longkang serta air hujan yang memasuki kerb outlet longkang tepi jalan tidak terhalang oleh sampah sarap dan daun-daun pokok.

“Bagi insiden yang berlaku di Jalan Sultan Abdul Samad, kerja-kerja pembersihan sistem saliran terutamanya longkang tepi jalan, kerb outlet longkang tepi jalan dan paip longkang yang melintasi jalan (crossing pipe) di lokasi kejadian telah dilaksanakan pada kadar segera selepas berlaku insiden banjir kilat tersebut,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas