CKK

Allaudeen bakal bersara

- Diterbit 5 Mac 2024 9:47 AM MYT

KUALA LUMPUR bakal memperoleh ketua polis baharu berkuatkuasa 25 Mac ini. Kawan-kawan Kedai Kopi ucapkan tahniah kepada Datuk Rusdi Mohd Isa yang bakal menyandang jawatan tersebut, menggantikan Datuk Allaudeen Abdul Majid yang bersara wajib mulai 1 April.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman itu adalah antara 45 pegawai kanan yang terlibat dalam pertukaran dan kenaikan pangkat seperti diumumkan oleh Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Alzafny Ahmad baru-baru ini. Rusdi juga dinaikkan pangkat Komisioner.

Allaudeen dilantik Ketua Polis Kuala Lumpur pada Ogos 2023. Sebelumnya beliau ialah Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. Beliau menggantikan Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain yang dilantik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Walau pun tidak lama menerajui kontijen polis Kuala Lumpur, Allaudeen telah melaksanakan tugas dengan membanggakan, terutama dalam menangani kadar jenayah di ibu kota. Tugas ini begitu mencabar, terutama dengan kedudukan sebagai ibu negara yang pesat membangun.

Antara usaha beliau ialah memastikan Lorong Haji Taib, Chow Kit, yang biasa dikenali sebagai ‘kawasan hitam’, berubah menjadi kawasan putih. Kegiatan jenayah seperti dadah, gangsterisme dan pelacuran berjaya dikawal, digantikan dengan pelbagai aktiviti perniagaan.

Kawan-kawan Kedai Kopi percaya segala usaha baik yang dilakukan oleh Allaudeen akan diteruskan oleh Rusdi demi memastikan keselamatan dan ketenteraman warga kota terus terpelihara. Kita mahu bukan sahaja kadar jenayah menurun, mereka yang terlibat juga dibawa ke pengadilan.

Pengalaman luas Rusdi selama berkhidmat dengan PDRM dengan memegang pelbagai jawatan akan menjadi aset penting menjalankan tugas dalam kota metropolitan yang serba mencabar. Diharap warga kota sentiasa menjadi mata dan telinga untuk membantu polis menjalankan tugas dengan lancar. Semua demi kebaikan bersama.

Selamat datang kepada Rusdi. Warga kota meletakkan harapan tinggi kepada beliau memastikan Kuala Lumpur terus bersih daripada gejala jenayah dan maksiat. Kepada Allaudeen, selamat bersara. Semoga menjalani persaraan dengan tenang dan damai. Jasa bakti tidak akan dilupa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas