Berita

‘Allah selamatkan PMX’

- Diterbit 16 Ogos 2024 9:10 AM MYT

DI sebalik keasyikan peminat melayan Konsert Datuk M. Nasir 45 Tahun Cipta di Axiata Arena, Bukit Jalil  10 Ogos lalu, lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’ turut dinyanyikan khas buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  (PMX) sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-77.

Ribuan peminat yang terpukau dengan alunan merdu suara penghibur tersohor itu tidak melepaskan peluang  untuk turut sama menyanyikan lagu tersebut buat PMX.

Tampil segak berbusana Melayu bersesuaian dengan tema konsert Pendekar dan Tradisional, M. Nasir mendendangkan lagu berkenaan usai selesai segmen pertama dan penukaran busana.

“Konsert hari ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hari ini merupakan hari ulang tahun beliau. Marilah kita sama-sama menyanyikan lagu buat beliau,” ujar beliau.

Anwar hadir pada konsert itu dengan berbusana pahlawan berona coklat serta lengkap bertanjak. Hadir sama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sebagai tanda keberkatan hari ulang tahun Perdana Menteri, pulut kuning turut sama diberikan kepada Anwar usai lagu khas tersebut selesai berkumandang dan disusuli dengan tepukan gemuruh ribuan pengunjung.

Selepas upacara memotong pulut kuning itu, M. Nasir turut mendendangkan sebuah lagu yang didedikasikan khas buat bekas Ketua Biro Politik Hamas, As-Syahid Ismail Haniyeh yang terbunuh di Tehran pada 31 Julai lalu.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas