SEBAGAI seorang selebriti, apa sahaja yang dilakukan mudah menjadi ikutan. Begitulah juga penangan penyanyi dan pengacara popular, Alif Satar, 33, yang menganjurkan gerakan solat Subuh berjemaah di masjid iaitu Geng Subuh Macam Jumaat.
Apa yang menakjubkan, Alif yang menggunakan tanda pagar #gengsubuhmacamjumaat untuk gerakan ini semakin menjadi tular dan ikutan di seluruh negara.
“Alhamdulillah, saya bersyukur gerakan ini cukup mendapat sambutan yang hebat dalam kalangan masyarakat. Ini sesuatu yang luar jangkaan saya sebenarnya. Misalnya, baru-baru ini, saya tengok dalam media sosial, lebih 12,000 jemaah solat Subuh secara berjemaah di sebuah masjid di Johor,” ujarnya.
Menurut pelantun lagu Sesungguhnya Aku dan Akhiri Penantianku ini, ia secara tidak langsung menggalakkan umat Islam terus berdoa untuk kesejahteraan hidup dan juga keamanan rakyat Palestin yang sedang ditindas tentera Israel.
“Doa itu adalah senjata orang mukmin. Tidak lupa juga, kita semua harus teruskan berdoa untuk saudara Islam yang berada di Palestin walaupun tidak berjihad bersama mereka namun doa sentiasa bersama mereka,” ujarnya.
Tambahnya, diharapkan ia akan berterusan sampai bila-bila selain menyeru orang ramai untuk menggunakan tanda pagar #roadtoramadan sempena bulan mulia yang bakal tiba tidak lama lagi.
Dalam usaha murninya menggalakkan solat Subuh berjemaah di masjid, tidak kurang juga ada segelintir yang kurang senang dengan gerakan itu yang mengatakan ia hanyalah sekadar kelebihan Alif sebagai selebriti.
“Saya tak ambil tahu langsung kalau ada yang cakap negatif. Tak penting pun nak ambil tahu komen-komen sebegitu kerana apa yang harus kita fokus adalah ajak orang ramai solat berjemaah di masjid.
Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi sokongan terhadap usaha ke arah kebaikan yang dianjurkan pelbagai pihak termasuk golongan selebriti.
Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata JAKIM juga akan menggunakan tanda pagar #gengsubuhmacamjumaat dalam usaha mengajak anak muda ke masjid. – WILAYAHKU