ALGORITMA media sosial yang membolehkan hantaran negatif menjadi lebih tular dan popular membuatkan pengguna kadang-kadang sengaja memuat naik kandungan (content) kebencian untuk meraih populariti seterusnya melahirkan pembuli siber
Profesor di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin, gejala buli siber dilihat semakin kronik dan algoritma media sosial menjadi antara faktor lahirnya pembuli siber.
“Algoritma media sosial cenderung mempromosikan kandungan yang mendapat banyak perhatian dan malangnya kandungan yang biasanya mendapat perhatian adalah isu negatif serta kontroversi.
“Ia lebih cepat tersebar dan menerima lebih banyak perhatian dibandingkan konten positif. Hal ini memberi dorongan kepada seseorang untuk melakukan hal-hal yang negatif demi konten semata-mata termasuklah sehingga membuli orang lain,” katanya.
Tambah beliau, antara faktor lain yang mendorong seseorang menjadi pembuli siber adalah kurangnya rasa empati.
“Pembuli siber sering menghantar mesej berunsur kebencian dan tidak akan peduli bagaimana mesej tersebut boleh menyebabkan tekanan emosi kepada penerima. Apatah lagi jika ia membabitkan media sosial yang tidak melibatkan interaksi langsung (tatap muka) antara pengguna.
“Pembuli siber tidak dapat melihat reaksi langsung mangsa. Komunikasi secara teks sahaja juga mengurangkan konteks emosi kerana teks tidak menyampaikan nada suara, ekspresi wajah atau bahasa tubuh, yang mana semua itu diperlukan untuk memahami emosi orang lain,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd Khairul berkata anonimiti Internet yang menyediakan ruang kepada seseorang untuk menyembunyikan identiti sebenar seolah memberikan ‘perlindungan’ kepada pembuli kerana mereka boleh bersembunyi di sebalik identiti palsu atau nama samaran.
“Ini menatijahkan kurangnya rasa tanggungjawab serta akibat daripada tindakan buli yang dilakukan dan kesannya, individu yang menggunakan akaun palsu untuk menghantar ancaman atau komen negatif berasa lebih berani kerana identiti sebenar mereka tidak diketahui.
“Faktor ini boleh dirincikan melalui ciri media sosial yang berkemampuan mendorong pengguna untuk bersikap biadap, kurang sopan dan berani melakukan buli siber. Pengguna yang dalam dunia nyatanya mungkin dikenali pendiam, pemalu serta punyai nilai kendiri rendah boleh menjadi seorang yang pemarah, agresif dan biadap di media sosial.
“Selain itu, media sosial juga membentuk kelompok atau komuniti yang menjadikan tingkah laku negatif sebagai suatu yang normal dan boleh diterima termasuklah melakukan buli siber beramai-ramai. Ia boleh lahir sama ada dari tekanan kelompok atau keinginan diri untuk mendapat perakuan dari kelompok tersebut.
“Seseorang yang masuk dan terlibat dengan kelompok atau komuniti siber yang sering menyebarkan kebencian dan penghinaan biasanya akan menganggap tindakan tersebut suatu yang normal dan dibolehkan dengan pelbagai alasan dan justifikasi,” ujarnya.
Jelasnya lagi, faktor utama adalah disebabkan masalah psikologi yang dihadapi individu tersebut sebagai contoh, seseorang yang merasa terasing atau marah kerana masalah keluarga yang dihadapi mungkin mencari cara untuk meluahkan perasaan tersebut dengan membuli orang lain di alam siber.
“Media sosial biasanya menjadi platform bagi seseorang mempamerkan ‘identiti’nya. Individu yang memiliki nilai diri rendah cenderung berperilaku biadap untuk menarik perhatian pengguna yang lain,” katanya.
Justeru, Mohd Khairul menegaskan bahawa pentingnya untuk mengenal pasti faktor kepada buli siber bagi mencegah amalan ini daripada terus berleluasa di media sosial dan memakan lebih banyak nyawa tidak bersalah. – WILAYAH