Berita

Alami pengalaman ‘Jalinan Aidilfitri’ di Malaysia Airports musim raya ini

KREDIT foto: Facebook MAHB.
- Diterbit 1 April 2024 3:45 PM MYT

BUAT julung kalinya Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bekerjasama dengan Kraftangan Malaysia untuk mempromosikan warisan budaya Malaysia yang kaya melalui medium tekstil.

Bertemakan ‘Jalinan Aidifitri: Pesona Kraf Tekstil’, kempen kerjasama ini meraikan keindahan tekstil tempatan yang tidak lapuk ditelan zaman seperti batik dan songket yang ditenun oleh pakar kraf tempatan, menawarkan explorasi menarik menyusuri hati sanubari dan jiwa Malaysia.

MAHB dalam kenyataan hari ini berkata kempen yang dilaksanakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri itu akan berlangsung dari 16 Mac hingga 15 Mei 2024, merangkumi semua lapangan terbang antarabangsa di Malaysia.

“Di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pengunjung akan disambut oleh tarikan utama, Rumah Kampung Limas yang direka dan dibina oleh jurubina tersohor, Masadan Mohsin. Rumah berketinggian 24 kaki ini ditempatkan dalam Balai Berlepas di Aras 5,” kata pengendali lapangan terbang itu.

MAHB juga berkata dengan persekitaran tradisional, pengunjung juga akan dipikat oleh keindahan tekstil Malaysia yang menghiasi setiap sudut kawasan, daripada alas meja hinggalah ke sarung kusyen bersama perhiasan-perhiasan berasaskan tekstil lain yang membolehkan pengunjung menikmati kekayaan dan kemeriahan seni budaya Malaysia.

“Di bawah rumah itu terdapat stesen mencanting batik yang luas, mengundang pengunjung untuk melibatkan diri dalam seni mewarna cebisan batik. Pengunjung juga boleh merasai suasana kampung yang tenang di sekitar Rumah Kampung Limas kerana terdapat taman pergola di halamannya yang dilengkapi dengan alatan tenunan songket tradisional di mana proses rumit penghasilan songket dapat disaksikan dan dipelajari,” katanya.

MAHB juga berkata setiap kawasan yang telah ditetapkan mempunyai kod Respons Pantas (QR) bagi membolehkan pengunjung mengimbas menggunakan telefon pintar mereka untuk menikmati pemandangan menawan wau batik yang melayang tinggi dengan latar belakang lapangan terbang.

Sementara itu Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial Malaysia Airports Hani Ezra Hussin berkata mereka berharap pengembara tempatan dan antarabangsa akan bersama-sama meraikan warisan Malaysia melalui tekstil di lapangan terbang pada musim Hari Raya ini.

“MAHB berbangga membawa dan mempamerkan kekayaan warisan seni kraf Malaysia. Sebagai sebahagian daripada strategi set semula komersial syarikat, kami memberi tumpuan dalam memastikan pengunjung kami memperolehi pengalaman yang lebih ceria dan berharap mereka menikmati karya seni yang begitu indah di KLIA,” katanya.

Selain itu pengembara dan pembeli boleh menikmati promosi membeli-belah Hari Raya sepanjang tempoh kempen dengan tawaran eksklusif tersedia di pelbagai lapangan terbang.

MAHB mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turkiye. Ia terdiri daripada lima lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik dan 17 lapangan terbang pendaratan dan pelepasan dengan landasan pendek. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas