Singgah

Alamanda berwajah baharu

TAMAN tema Escape Putrajaya merupakan antara tarikan baharu di Alamada.
- Diterbit 14 Mac 2025 10:50 AM MYT

SEBAGAI nadi utama dalam landskap runcit dan gaya hidup Putrajaya, penjenamaan semula Pusat Beli-Belah Alamanda adalah langkah ke hadapan dalam mewujudkan hab yang lebih meriah untuk komuniti setempat dan pelawat.

Penjenamaan semula yang bermula pada 20 Jun 2023, menandakan perubahan besar pertama sejak penubuhan pusat beli-belah tersebut pada 2004.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH), Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim, pihaknya membelanjakan lebih RM106 juta untuk menaik taraf Pusat Beli-Belah Alamanda atau Alamanda ini.

Beliau berkata, langkah menaik taraf Alamanda itu melibatkan ruang lantai berkeluasan lebih 200,000 kaki persegi dan membawa beberapa tarikan baharu seperti taman tema Escape Putrajaya, panggung wayang dan penambahan lot kedai.

“Ini merupakan projek pengubahsuaian terbesar yang pernah dilancarkan oleh PjH sejak Alamanda dibuka pada 2004.

“Setelah 20 tahun, tiba masanya kita menaik taraf pusat beli-belah ini. Alamanda yang baharu ini telah berjaya membawa wajah baharu dan saya yakin akan menjadi pemangkin kepada Putrajaya secara keseluruhannya,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian penaiktarafan pusat beli-belah itu baru-baru ini.

Perasmian itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Yang hadir sama Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Putrajaya Holdings, Datuk Kamil Khalid Ariff; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan.

Mengulas lanjut Izwan Hasli turut menyatakan komiten PjH untuk memajukan Putrajaya berdasarkan tiga nilai utama iaitu nilai pemangkin, nilai komersial dan nilai sosial.

“Insya-Allah kita akan jadikan Putrajaya ‘The Best Address In Malaysia’ – Alamat Yang Terbaik di Malaysia,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata Alamanda yang diuruskan pihaknya itu mempunyai keluasan lantai kasar 1,056,000 kaki persegi dengan keluasan boleh disewa bersih 921,443 kaki persegi.

“Alamanda bukan sekadar ruang runcit, ia adalah mercu tanda komuniti di mana keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga berkumpul.

“Penjenamaan semula, menaik taraf Alamanda ini menjadi destinasi gaya hidup yang lebih meriah, menggabungkan elemen runcit moden, kulinari dan hiburan dengan ruang yang direka khas untuk memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat Putrajaya.

“Dengan itu, Alamanda kini bersedia menetapkan penanda aras baharu dalam dunia ‘retailtainment’,” katanya.

Francis berkata bagi meningkatkan lagi penawaran hiburan, Alamanda kini menampilkan 10 ruang pawagam TGV Cinemas yang mesra keluarga serta pusat boling U-Bowl X yang diperluas dengan 26 lorong, menawarkan lebih keseronokan kepada pengunjung.

ANWAR (tengah) hadir merasmikan Alamanda berwajah baharu di Centre Court pusat beli-belah tersebut.

“Transformasi ini juga memperkenalkan peningkatan 27% dalam Kawasan Bersih Boleh Disewa (NLA) seluas 199,000 kaki persegi, termasuk Escape Putrajaya.

“Selari dengan tagline Alamanda, ‘Easy, Vibrant Shopping’, pusat beli-belah ini bakal membuka sebanyak 29 kedai baharu dengan lebih banyak lagi bakal dibuka,” katanya.

Francis berkata susun atur baharu Alamanda direka untuk menyesuaikan pengalaman membeli-belah dan riadah dengan perubahan demografi Putrajaya.

“Pusat beli-belah ini kini tampil dengan rupa lebih moden, menampilkan lantai marmar yang elegan, balustrad kaca dan pegangan tangan keluli tahan karat.

“Selain itu, plaza dan fasad baharu Alamanda kini disepadukan dengan landskap moden yang menghubungkan pengunjung dengan pengalaman runcit yang lebih menarik.

“Di bahagian luar, landskap seluas 60,000 kaki persegi menampilkan rumput menghijau yang menghadap tasik, tempat duduk binaan yang dihiasi spesies tumbuhan tempatan serta dek yang diperbuat daripada bahan mampan.

“Esplanade baharu Alamanda dilengkapi kipas HVLS (High Volume Low Speed) untuk kawalan suhu yang optimum, memberikan pengalaman makan luar yang lebih selesa sambil menikmati suasana Escape Putrajaya.

“Bagi memenuhi peningkatan jumlah pengunjung, aliran trafik parkir telah dioptimumkan, memastikan pengalaman membeli-belah yang lancar untuk semua,” katanya.

ESCAPE PUTRAJAYA TAMAN PENGEMBARAAN BARU

SELAIN runcit, Alamanda juga merupakan pusat gaya hidup dan hiburan yang dinamik.

Terletak di Esplanade, Escape Putrajaya merupakan taman pengembaraan luar seluas 151,548 kaki persegi yang dibangunkan dengan kerjasama Sim Leisure Group Ltd.

Francis berkata direka untuk menggabungkan elemen pengembaraan dan alam semula jadi, ia menjanjikan pengalaman yang mengujakan untuk setiap lapisan masyarakat.

“Taman ini menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan tarikan seperti Zip Coaster, Flying Lemur, Banana Flip, Slingshot, Coco Climb, Mini Aerobat dan banyak lagi.

“Harga adalah bermula RM52 dan kesemua aktiviti ini bersesuaian untuk kanak-kanak, remaja mahupun dewasa. Ia dibuka seawal pukul 10 pagi sehingga 6 petang,” katanya.

Tambahnya Escape Putrajaya juga boleh menjadi lokasi bagi aktiviti team building.

“Selain pengunjung beli-belah, kita juga menyasarkan mana-mana kumpulan penjawat awam mahupun swasta untuk datang ke sini bagi aktiviti team building dan sebagainya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas