BAGAI aur dengan tebing diumpamakan hubungan akrab dan saling memerlukan antara Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan pihak media selama ini.
Media merupakan rakan strategik yang penting dalam usaha untuk memposisikan PPj secara positif di mata masyarakat bagi mendukung misi dan visi organisasinya.
Bagi memperkukuh jalinan ini, PPj menganjurkan Program Jalinan Media menerusi PPJxKMP Fun Race 2023 pada 15 Julai lalu bertempat di Pusat Rekreasi Air, Taman Wetland, Putrajaya.
Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, lebih 20 pengamal media pelbagai agensi yang bernaung di bawah Kelab Media Putrajaya (KMP) menyertai Program Fun Race anjuran pihaknya.
“Program tersebut berkonsepkan santai selain mendedahkan kumpulan media dengan produk pelancongan di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.
“Dengan bertemakan ala kampung, peserta dibahagikan kepada sembilan kumpulan media di mana mereka dikehendaki melengkapkan lima tugasan iaitu berkayak, kukur kelapa, boling kelapa, lastik botol dan tarik upih kelapa.
“Hadiah pertandingan disediakan kepada lima kumpulan yang mencatatkan masa terbaik dan dua orang peserta berpakaian mengikuti tema acara,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata sokongan pihak media melalui penulisan artikel dan liputan berkaitan Putrajaya adalah merupakan antara faktor penyumbang kepada kejayaan program sekali gus menaikkan imej PPj selaku pihak berkuasa tempatan di pusat pentadbiran kerajaan ini.
“Ia terbukti apabila pada tahun 2022, sebanyak 1,122 liputan mengenai PPj dan Putrajaya telah direkodkan menerusi media cetak dan media elektronik dengan Nilai Persamaan Iklan (AVE) sebanyak RM4,875,294,916.32,” jelas beliau pihaknya amat menghargai peranan dan sumbangan media dalam menyebarkan maklumat berhubung polisi, dasar dan hala tuju PPj sekali gus merapatkan lagi jurang hubungan di antara pengurusan atasan dengan masyarakat serta pemegang taruh di Putrajaya. – WILAYAHKU