Berita

Aktiviti ahli GISBH dipantau rapat JAIS

- Diterbit 12 September 2024 7:12 PM MYT

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa memantau rapat aktiviti ahli Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) berikutan wujudnya kaitan dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa’.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata berhubung dengan isu GSBH yang sedang tular, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan serbuan ke atas 18 buah premis pada 11 September lalu.

“Pihak JAIS telah berbincang dengan pihak PDRM supaya barang-barang rampasan yang berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli-ahli GISBH diserahkan kepada JAIS untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7, 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dijalankan.

“Pihak JAIS juga telah meneliti 19 video yang dimuat naik di media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) di mana penelitian dibuat bagi mengukuhkan lagi hasil siasatan sedia ada dan bagi mendapatkan keterangan daripada individu atau pihak-pihak lain bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya berikutan tindakan PDRM semalam, dua daripada premis-premis yang diserbu tersebut adalah Sekolah Rendah Islam yang berdaftar dengan JAIS iaitu Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah yang didaftarkan pada Januari 2015 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Disember 2025.

“Sekolah berkenaan terdiri daripada 12 guru dan kakitangan serta 104 pelajar lelaki dan perempuan yang menggunakan silibus JAIS.

“Sepanjang pemantauan dibuat di sekolah tersebut pada 13 Januari, 23 Mac pada tahun 2023 dan 26 Julai 2024, tidak wujud sebarang penyelewengan yang dikesan.

“Sebuah lagi sekolah iaitu Maahad Tahfiz Wal Ulum Al-Ghazaly yang didaftarkan pada 12 November 2014 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Disember tahun ini.

“Maahad ini terdiri daripada tiga orang kakitangan dan 54 pelajar lelaki dengan menggunakan kurikulum tahfiz sendiri,” katanya.

Mohd Shahzihan berkata sebanyak lapan sekolah yang disyaki di bawah GISBH berdaftar dengan JAIS.

“Dua daripadanya sudah menutup operasi secara sukarela manakala dua lagi tamat pendaftaran dan satu sekolah ditarik pendaftaran manakala baki masih beroperasi sehingga 2028.

“Berikutan tindakan dan penemuan PDRM yang membabitkan sekolah berdaftar di bawah enakmen yang berkuat kuasa, JAIS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sekolah terbabit mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988,” ujarnya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan seramai 171 orang penyelia dan penjaga 20 buah premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH telah ditahan.

Kesemua mereka ditahan dalam 20 serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kimia Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas