Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Akta tertentu diteliti pertimbang hukuman berat untuk curi kabel komunikasi – Fahmi

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 27 Jun 2024 11:04 AM MYT

KERAJAAN sedang meneliti akta tertentu bagi mempertimbangkan hukuman lebih berat untuk kesalahan berkaitan kegiatan mencuri kabel komunikasi sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ketika ini proses dapatan, maklum balas dan beberapa perkara dalam bidang kuasa atau di bawah Kanun Keseksaan sedang diambil kira sebelum ia dikuatkuasakan.

“Pada masa sama pengalaman di negeri-negeri tentang kecurian kabel atau vandalisme ini akan kita selaraskan respons supaya satu penyelesaian menyeluruh dapat kita usahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir menonton persembahan Teater Perdana Haji Murat yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini malam ini.

Fahmi ditanya mengenai perkembangan proses untuk menguatkuasakan hukuman itu yang dilapor akan dicadangkan dalam pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sedang diperincikan oleh Jabatan Peguam Negara.

Ditanya mengenai tempoh pelaksanaannya, Fahmi berkata beliau berharap beberapa perkara dapat diluluskan di peringkat jemaah menteri untuk dibawa ke sidang Parlimen yang sedang berlangsung.

“Saya sangat gembira dapat menyaksikan pementasan teater Haji Murat iaitu satu karya agung seorang sasterawan ulung Leo Tolstoy yang telah diterjemah dan diadaptasi untuk pementasan ini oleh Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan.

“Semestinya saya cukup menyokong bukan hanya kerana saranan Perdana Menteri tetapi pengalaman saya dalam bidang seni dan pementasan teater. Harapan saya, agar ramai anak muda bukan hanya datang menonton tetapi berminat untuk sama ada berkarya dalam bidang sastera mahupun teater nanti,” katanya.

Pementasan teater itu berdasarkan dari novella penting dan karya terakhir sasterawan ulung Rusia Tolstoy. Karya berkenaan yang mengangkat tema jihad dan perjuangan bangsa ditulis berdasarkan kisah benar yang berlaku pada 1851, melibatkan pejuang Chechen bernama Haji Murat yang membentuk perikatan dengan Rusia yang pernah ditentangnya, kerana ingin membalas dendam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas