PEJABAT Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) telah dan sedang melaksanakan beberapa tindakan penguatkuasaan berhubung kebocoran maklumat termasuk pindaan kepada peruntukan-peruntukan di dalam Akta Rahsia Rasmi 1982 (Akta 88).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ia bagi meningkatkan elemen penguatkuasaan terbabit termasuk dalam persekitaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Selain itu menurutnya, pindaan Akta 88 itu membolehkan pendekatan melalui tindakan korektif pada masa ini disesuaikan dengan pendekatan melalui tindakan punitif yang lebih berkesan.
“Ini bagi mengekang sebarang ancaman kebocoran maklumat rahsia rasmi (terperingkat) kerajaan pada masa akan datang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Riduan Rubin (BEBAS-Tenom) mengenai tindakan kerajaan mengatasi isu kebocoran maklumat sulit kerajaan kerana ia digunakan bagi tujuan politik dengan niat mewujudkan kegentaran awam dan persepsi negatif kepada kerajaan sedia ada serta mengganggu urusan rasmi kerajaan.
Dr Zaliha menambah, CGSO juga melaksanakan pindaan peruntukan-peruntukan di dalam Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017) bagi disesuaikan dengan ancaman dan risiko keselamatan termasuk mengenai aspek keselamatan teknologi memuncul (emerging technology) seperti Internet of Things (IOT), kecerdasan buatan (AI) serta Pengkomputeran Awan (Cloud Computing).
Malah katanya, badan itu juga melaksanakan Inspektorat Pematuhan dan Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan terhadap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuk di peringkat negeri secara berkala.
Jelas beliau, ini bagi memastikan aspek keselamatan perlindungan khususnya melibatkan pengurusan rahsia rasmi kerajaan mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.
“Seterusnya menerapkan kesedaran keselamatan perlindungan kepada semua pegawai awam khususnya melindungi dokumen dan maklumat rahsia rasmi kerajaan melalui pelaksanaan kursus, bengkel atau taklimat.
“Ini termasuk membudayakan keselamatan perlindungan di semua agensi kerajaan melalui pelbagai medium seperti pameran dalam majlis-majlis anjuran agensi kerajaan, poster-poster digital melalui e-mel secara bulanan dan khidmat konsultasi pada setiap masa,” katanya. – WILAYAHKU