Artikel

Akta PSB bukan tujuan halau Melayu dari bandar

AKTA Pembaharuan Semula Bandar bertujuan membangunkan kawasan-kawasan lama untuk pembangunan semula.
- Diterbit 3 Mac 2025 10:00 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

BARU-BARU ini sekali lagi pihak pembangkang mencipta naratif perkauman untuk menolak usaha kerajaan membangunkan negara melalui Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Padahal ketika di dalam kerajaan, inilah juga usaha yang dibuat oleh para pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk membangunkan negara.

Tetapi oleh kerana menteri yang menjadi pihak pelaksana kepada pengenalan akta ini adalah dari DAP, iaitu Nga Kor Ming, ia sudah menjadi buruk seburuk-buruknya.

Ia sudah jadi satu usaha untuk menghalau Melayu dari tinggal di bandar dengan digantikan oleh pihak-pihak lain. Kononnya Melayu tidak akan mampu membeli rumah-rumah yang bakal dibina nanti.

Yang peliknya ketika menjadi kerajaan, inilah hujah dan usaha yang dibuat oleh mereka dahulu.
Ketika saya menjadi pegawai kepada Khalid Abdul Samad, dahulunya Menteri Wilayah Persekutuan, inilah usaha dan perbincangan yang kita buat.

Kami melawat bangunan-bangunan flat kediaman yang usang dan penuh dengan masalah. Kami berbincang bagaimana ia boleh dibangunkan semula.

Saya masih ingat lagi, Datuk Dr Alias Rameli adalah salah seorang Setiausaha Bahagian di kementerian ini yang turut sama membincangkan isu tersebut.

Kini Dr Alias, Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), yang berasal dari Terengganu inilah juga yang menyiapkan draf Akta Pembaharuan Semula Bandar ini.

Melalui akta ini, bukan sahaja hak penduduk dan pemilik asal bangunan usang yang hendak dibangunkan ini akan mendapat keutamaan untuk tinggal semula di sini bahkan jauh sekali menghalau orang Melayu dari bandar.

Dalam sesi dengan Bernama baru-baru ini, Dr Alias menafikan dakwaan bahawa PSB akan menghapuskan bangsa Melayu serta golongan B40 dan M40 di bandar.

Beliau berkata kerajaan memegang teguh 10 prinsip bagi memastikan ketelusan pentadbiran dan menjamin hak pemilik hartanah berdaftar dalam membangunkan rang undang-undang itu.

“Antara prinsip utama Rang Undang-Undang (RUU) PSB adalah mendapatkan persetujuan pemilik, pengekalan penduduk asal dan menjaga kepentingan pemilik tanah dan penyelarasan kos caj penyelenggaraan yang wajar.

“Penggubalan RUU PSB tidak sama sekali menyebabkan pindaan kepada akta-akta lain seperti yang disebut oleh Ahli Parlimen Kota Bharu iaitu Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara dan Akta Pengambilan Tanah 1960,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini Ahli Parlimen pembangkang menyifatkan RUU PSB sebagai taktik halus menyingkirkan Melayu daripada menetap di kawasan bandar dengan menurunkan nilai ambang persetujuan bagi pembangunan semula kawasan perumahan strata.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) juga dilaporkan berkata penggubalan perundangan tersebut dilakukan secara tergesa-gesa.

Mengulas lanjut, Alias berkata RUU PSB akan melengkapi dan mempunyai peruntukan tambahan bagi menjaga hak dan kepentingan pemilik dan pemunya hartanah sedia ada.

Beliau berkata kajian kepada lebih 17 akta berkaitan pembangunan hartanah telah dilaksanakan bagi mengelakkan pertindihan dan percanggahan dari sudut perundangan.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dan memberi jaminan bahawa pemilik asal hartanah tidak akan diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan susulan Akta PSB.

Malah katanya kerajaan akan memastikan setiap pemilik asal hartanah memahami hak serta perlindungan yang akan diberikan.

Menurut beliau Akta PSB telah diusulkan sejak 2013 sebelum proses pengumpulan data dimulakan pada 2015, maka tidak timbul soal gopoh untuk melaksanakan akta berkenaan.

“Tidak timbul sama sekali bahawa pemilik asal hartanah akan diusir daripada pemilikan tanah secara paksaan. Malah status tanah yang asal kekal sama tidak akan berubah.

“Soal gopoh itu saya tak faham kenapa dibangkitkan. Untuk maklumat semua, pada 2020 bekas Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa menerajui program pembaharuan ini terutama rumah pangsa berusia lebih 40 tahun.

“Pada 2021 pula Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamarudin memulakan penggubalan RUU PSB. Pada 22 Mac 2022, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican meneruskan dan menegaskan prinsip sama.

“YB (Yang Berhormat) Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) pada September 2022 malah memaklumkan DBKL telah mengenal pasti 30 kawasan untuk pembaharuan semula,” katanya di Dewan Rakyat minggu lalu.

Pada masa sama Anwar berkata, tidak timbul langsung isu kerajaan ingin mengganggu tanah rizab Melayu, sebaliknya inilah cara tolong orang Melayu.

“Saya tak sanggup lihat kawasan-kawasan daif. Tak timbul soal tanah rizab Melayu. Kalau betul nak tolong Melayu ini caranya. Maknanya kita guna seluruh dana untuk bangunkan (penempatan) mereka.

“Mesti lakukan sesuatu segera. Tak boleh kita biar orang miskin Melayu, India dan Cina dalam keadaan begitu. Tapi (kerajaan) jamin hak dia kekal. Jamin rumah dia lebih baik. Kalau sekarang satu bilik, sekurang-kurangnya selepas ini tiga bilik. Itu syarat dia,” kata Anwar.

Kita yakin, jika inilah sikap yang diambil oleh pembangkang yang sentiasa mengambil peluang untuk memusingkan fakta, rakyat terbanyak tidak akan percaya kepada mereka lagi.

Ini kerana, di zaman semua maklumat berada di hujung jari ini, majoriti rakyat dapat akses kepada maklumat dengan mudah.

Jika selama ini mereka terpengaruh dengan media sosial, kali ini juga mereka akan terpengaruh dengan media sosial untuk mendapatkan maklumat yang sebenarnya bukannya auta.

SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas