Berita

Akta 852: Kerajaan beri masa enam bulan patuhi peraturan, perintah

Foto: Shuaib / WILAYAHKU
- Diterbit 28 September 2024 3:24 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memberi masa enam bulan sehingga 1 April 2025 bagi semua pemain industri rokok dan vape mematuhi peraturan dan perintah yang ditetapkan dalam Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Perkara itu ditekankan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad merujuk kepada akta tersebut yang dikuatkuasakan bermula 1 Oktober ini.

“Perlu saya jelaskan tarikh 1 Oktober ini merupakan kesediaan Jabatan Peguam Negara (AGC) meluluskan semua peraturan dan perintahg. Ada 11 peraturan dan dua perintah yang terkait dengan pelaksanaan akta itu.

“Apa yang dimaksudkan adalah AGC meluluskan semua peraturan dan perintah. Cumanya dari sudut penguatkuasaan, bukannya mudah. Bahagian Kesihatan Awam (KKM) telah menyusun perkara ini dengan cermat dan teliti supaya penguatkuasaannya akan kita terangkan secara terperinci apakah perkara yang akan segera dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan pelancaran Putrajaya Sihat Sejahtera sempena sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Putrajaya di Dataran Wawasan, Putrajaya hari ini.

Beliau memberikan contoh dari aspek pendaftaran iaitu sehingga 1 April 2025, pihak kementerian akan melaksanakan proses pendaftaran kepada semua pemain industri rokok dan vape.

“Peraturan berkaitan pameran di kaunter (jualan) vape dan rokok, kita akan berikan sedikit waktu dari sudut display, juga pada 1 April 2025 (penguatkuasaannya).

“Sehingga tarikh itu kita akan terangkan secara lengkap apakah peraturan dan perintah yang boleh kita segerakan. Peraturan-peraturan hasil tembakau melibatkan mereka yang berusia di bawah 18 tahun, ia akan dilaksanakan segera,” katanya.

Ditanya mengenai nota bantahan terhadap Akta 852, jelas beliau, pihak kementerian telah dan akan membuat libat urus dengan pemain industri dan mengambil kira pertimbangan kepada kepentingan mereka.

“Selepas 1 Oktober ini akan ada action plan dan libat urus.

“Namun, kita tidak mahu berganjak dengan komitmen kita untuk melaksanakan akta berkenaan. Ingat dulu semasa saya menjadi menteri (Menteri Kesihatan ketika pentadbiran Pakatan Harapan), setahun saya beri masa larangan merokok di tempat makan, now kita bagi masa enam bulan (penguatkuasaan Akta 852),” katanya.

Akta 852 diwartakan pada Februari lalu adalah dalam usaha mengekang penggunaan produk tembakau serta mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk tembakau termasuk rokok elektronik atau vape.

Kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 menunjukkan peningkatan peratus pengguna rokok elektronik atau vape yang amat ketara terutama dalam kalangan orang dewasa yang berusia kurang 50 tahun, sangat membimbangkan dan memerlukan tindakan yang tuntas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas