AKTA Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa hari ini akan melibatkan beberapa aspek yang dilaksanakan secara serta-merta dan berfasa.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), aspek-aspek yang dikuatkuasakan serta-merta adalah peruntukan yang melibatkan penjualan produk merokok berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak serta remaja bagi mengekang kebolehdapatan produk tersebut.
Katanya, ia turut melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok selain aspek tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian serta mesin layan diri.
“Penguatkuasaan pendidikan pula akan dilaksanakan dahulu bagi tempoh enam sehingga 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa.
“Ia merangkumi pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
KKM menambah, aspek lain termasuk pembungkusan dan pelabelan yang akan dikuatkuasakan mengikut produk, selewat-lewatnya Oktober 2025.
Katanya, kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan juga akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya 1 April 2025.
“Penguatkuasaan undang-undang secara berkesan dan mampan memerlukan persefahaman dan kerjasama daripada semua pihak.
“Untuk tujuan itu KKM akan menerbitkan bahan pendidikan dan advokasi untuk membantu seluruh pemegang taruh memahami akta ini dengan jelas,” katanya.
Jelas kementerian itu, pihaknya juga akan meneruskan sesi libat urus berkaitan pematuhan akta tersebut terutamanya dengan pemain industri.
Katanya, KKM memandang serius kesan buruk amalan merokok yang berleluasa termasuk aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang disasarkan kepada kanak-kanak serta remaja.
“Oleh itu Akta 852 yang telah diwartakan sebelum ini pada 2 Februari lalu kini berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya bermula 1 Oktober 2024 (hari ini),” katanya. – WILAYAHKU