Berita

Akta 333 akan dipinda bagi kenakan tindakan lebih tegas terhadap pemandu bawah pengaruh dadah – Loke

Gambar hiasan
- Diterbit 6 Ogos 2024 6:31 PM MYT

KERAJAAN bercadang meminda Seksyen 45A di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mengenakan tindakan lebih tegas terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah walaupun tidak menyebabkan kemalangan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata cadangan tersebut akan diusulkan ke Persidangan Ketiga Dewan Rakyat pada Oktober ini selepas perbincangan lanjut bersama pegawai kementerian dan jabatan berkaitan.

Beliau berkata undang-undang sedia ada terhadap kesalahan pemandu positif dadah didapati kurang tegas dan sepatutnya perlu dihukum seperti kesalahan pemandu mabuk di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM10,000 dan penjara dua tahun.

“Pemandu yang mengambil dadah, kita hanya boleh dakwa sekiranya mereka mengakibatkan kemalangan jalan raya.

“Manakala  pemandu yang dikesan menagih dadah tetapi tidak menyebabkan kemalangan hanya boleh digantung lesen dan tidak boleh didakwa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan Dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran & Ekspres) di Stesen Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gombak, dekat sini, hari ini.

“Ini bermakna dalam setiap 13 pemandu terdapat seorang yang berada di bawah pengaruh dadah apabila menjalankan tugas sebagai pemandu di jalan raya. Ini adalah keadaan yang amat membimbangkan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas