KERAJAAN sedang mengkaji untuk mengetatkan lagi undang-undang sedia ada dengan memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan aksi berbahaya dan lumba haram.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, draf pindaan melibatkan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 telah dibawa ke peringkat Jabatan Peguam Negara.
“Langkah ini bagi memastikan hukuman yang dikenakan dapat menjadi satu bentuk deterrence dan pencegahan kepada pelaku,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai cara paling berkesan yang boleh diambil terhadap kumpulan mat rempit yang sering melakukan aksi berani di lebuh raya dan sentiasa mengancam keselamatan pengguna lain.
Hasbi berkata, pihak kementerian sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Pindaan APJ 1987 bagi mewujudkan tafsiran jelas berhubung isu mat rempit.
Katanya, ia merangkumi kesalahan menunggang motosikal secara melulu, membahayakan atau perlumbaan haram di jalan raya.
Selain itu jelasnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sedang meningkatkan pemantauan bagi mengesan lokasi panas yang sering menjadi tempat pengumpulan mat rempit bagi tujuan pengesanan dan pengumpulan bukti.
Malah tambahnya, pihak kementerian dan JPJ akan melaksanakan kerjasama berterusan dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam mengekang aktiviti penjualan dan pengubahsuaian motosikal yang tidak mengikuti spesifikasi dibenarkan.
“Ia seperti penjualan dan pengubahsuaian ekzos paip, tayar sotong, tayar kecil, CDI, ECU dan sebagainya,” katanya. – WILAYAHKU