KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh digesa menarik balik kenyataan mempertikai pengampunan diraja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli berkata tidak seharusnya mana-mana pihak pertikaikan bidang kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sehingga mencalarkan pandangan terhadap keluhuran institusi.
“Jika tidak berhati-hati, kenyataan tersebut bukan lagi sekadar serangan politik, tetapi juga boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak menghormati institusi Raja dan undang-undang tertinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Akmal menerusi akaun Facebook miliknya mempersoalkan pengampunan Diraja yang diperolehi Perdana Menteri dan sejauh mana proses itu dibawa kepada Lembaga Pengampunan.
Mengulas lanjut, Adam berkata Akmal seharusnya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan.
Katanya, selain rujuk terlebih dahulu fakta mudah yang boleh diakses menerusi carian Google, beliau juga perlu memahami kuasa dan proses pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Fakta asas dan penting yang perlu Akmal ketahui adalah pengampunan Anwar pada 2018 atas dasar pelanggaran prinsip keadilan telah pun melalui proses wajar termasuk pembentangan dan pertimbangan oleh Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Ini telah dilapor secara meluas oleh media ketika itu. Maka apa yang dipertikaikan oleh Akmal bukan sahaja meluru, malah memesongkan fakta yang diketahui umum,” katanya.
Menurut Adam, Mahkamah Rayuan pada 2021 juga pernah membatalkan sebuah saman yang mempertikaikan pengampunan diraja yang dikurniakan kepada Anwar.
Beliau berkata hal itu telah diputuskan secara tuntas melalui keputusan mahkamah, sewaktu Anwar dan Pakatan Harapan (PH) berada di blok Pembangkang.
“Pengurniaan pengampunan bukan keputusan yang dibuat sewenang-wenangnya mengikut desakan politik, tetapi dilindungi mekanisme yang telah ditetapkan undang-undang dan Perlembagaan.
“Kami di PH ketika itu menuruti proses ini dengan cermat dan hemah atas dasar memperakui keluhuran perlembagaan kita,” katanya.
Adam berkata Kerajaan Madani tidak mengamalkan politik dendam atas pertembungan lampau.
“Ini kerajaan gabungan yang dianggotai pelbagai parti yang ada kepentingan masing-masing. Sehabis baik ianya akan sentiasa dijaga.
“Apakah Akmal mahu terus menutup sebelah mata terhadap pendekatan hari ini di bawah Kerajaan Madani,” katanya. – WILAYAHKU