KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) memaklumkan 16 daripada 746 projek yang sedang dalam pembinaan di bawah kendaliannya di seluruh negara dikenal pasti sebagai projek sakit.
Satu daripada punca dikenal pasti adalah kelewatan pembinaan oleh pihak kontraktor, yang mana faktor utamanya disebabkan masalah kewangan. Punca lain termasuk isu kekurangan bahan serta masalah ketika melantik sub kontraktor.
Meskipun angka 16 projek itu dikhabarkan sebagai ‘kecil’ dengan hanya mewakili 2.14 peratus daripada keseluruhan projek, impaknya tidak boleh dipandang remeh.
Secara ringkas, projek sakit didefinisikan sebagai projek yang mana kemajuan pelaksanaan mengalami kelewatan melebihi dua bulan atau 20 peratus daripada tarikh atau jadual ditetapkan mengikut mana yang terdahulu dan kontraktor tidak berupaya memperbaiki prestasinya.
Mengapa projek sakit menjadi isu? Sudah tentu jawapannya dari segi kesannya kepada banyak pihak. Di pihak kerajaan, ia sememangnya memeningkan kepala apabila projek pembangunan dirangka untuk rakyat tidak siap-siap.
Itu belum masuk bab kena keluar kos tambahan untuk selamatkan projek sakit. Perlu diingat semakin lama projek tertangguh atau terhenti, semakin tinggi kos akan bertambah. Projek lambat siap juga selalunya membangkitkan kemarahan rakyat, lantas memberi imej kurang cantik kepada kerajaan.
Dari segi manfaat pula, projek sakit atau terbengkalai akan menyebabkan pembangunan di kawasan terbabit tertangguh, apatah lagi jika ia membabitkan pembangunan berfasa.
Jika ini berlaku, sudah tentu yang menerima kesannya adalah rakyat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melalui Amanat Tahun Baharu 2025 turut menyentuh mengenai isu projek sakit. Beliau mahu melihat penurunan dalam angka projek sakit dan jika boleh untuk mencapai angka sifar.
“Meskipun secara nisbah puratanya, jumlah projek sakit adalah kecil berbanding projek siap, namun ini tidak bermakna kita boleh berpuas hati dan merasa bangga. Dalam kita meraikan kejayaan projek siap, projek sakit juga perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Mesejnya di sini cukup jelas – jangan mudah berpuas hati dengan angka projek sakit yang kecil atau semakin berkurang saban tahun. Ibarat mendengar gurun di langit, air tempayan dicurahkan. Sebaliknya, usaha perlu terus digembleng untuk memastikan sasaran sifar projek sakit tercapai.
Namun bagaimana caranya? Sudah tentu perlu berbalik kepada punca pokok mengapa sesuatu projek itu boleh bertukar ‘sakit’. Yang pasti isu membabitkan kontraktor perlu diberi perhatian utama.
Dalam konteks ini, kerajaan khususnya KKR sudah tentu ada garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) khusus berhubung pemilihan kontraktor. Sebagai contoh kontraktor dilantik perlu diwajibkan memiliki pengalaman diperlukan atau berkaitan dengan skop tugas projek, selain kedudukan kewangan juga kukuh.
Kriteria sebegini harus dipatuhi dan diberi keutamaan, dengan amalan pengagihan projek kepada kroni wajib dijauhi. Ia penting supaya mana-mana kontraktor dilantik terbukti memiliki akauntabiliti atau kebertanggungjawaban tinggi untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan.
Selain itu, langkah KKR untuk melaksanakan sistem merit bagi mengukur tahap prestasi pihak yang terbabit projek di bawah kementerian itu termasuk kontraktor dalam pelaksanaan tugas mereka wajar disokong.
Sistem sebegini sudah tentu akan lebih memudahkan KKR untuk menyaring senarai kontraktor mengikut skor merit masing-masing, sekali gus membantu dalam memilih kontraktor yang paling layak untuk sesuatu projek.
KKR juga akan turut memperkenal platform pengurusan digital untuk memantau secara telus setiap aspek projek bermula dari fasa perancangan hingga ke fasa penyelenggaraan.
Ia satu langkah penting diambil KKR demi memastikan pengurusan projek yang sistematik. Apa guna kerap bercakap mengenai teknologi dan digital, tetapi kemajuan yang ada seperti kecerdasan buatan (AI) dan data raya atau ‘big data’ tak sedikitpun dimanfaatkan.
Yang pasti, misi untuk mencapai sasaran sifar projek sakit seperti dikongsi Alexander di hadapan warga kementeriannya bukan omong kosong.
Namun untuk memastikan ia berhasil, komitmen semua pihak termasuk warga kementerian dituntut.
“We are here to facilitate not to strangulate. Kita harus menjadi pemudah cara yang berkesan, bukannya diktator yang tiada budi bicara langsung,” kata Alexander.
Kenyataan itu selari dengan apa yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ucapan di pentas Forum Ekonomi Malaysia baru-baru ini.
“Kita tidak hanya melihat kepada kejayaan tetapi juga perlu melihat ruang yang harus dibaiki, kelemahan yang harus dibetulkan, tahap kesungguhan yang harus kita tingkatkan, kerjasama yang harus kita jalinkan dan perubahan yang harus membawa kebaikan,” katanya.