Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
BIARPUN hidup pada zaman serba moden namun masih ada lagi segelintir masyarakat yang masih percaya dengan ajaran sesat yang menjangkaui logik akal manusia.
Penyebaran ajaran sesat di negara ini bukan sahaja masih berleluasa tetapi kini dilakukan secara terbuka dengan menggunakan platform-platform media sosial untuk mencari dan menarik pengikut.
Antara platform popular digunakan ialah menerusi aplikasi TikTok, YouTube dan Facebook. Penyebaran ajaran terutama yang bertentangan dengan Islam kini tidak lagi dilakukan secara bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
Ajaran yang menyelewengkan akidah umat Islam ini bertentangan dengan sumber utama Islam iaitu Al-Quran, As-Sunnah, ijmak dan qias. Ia turut bercanggah dengan pegangan atau pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah, syariat dan akhlak yang didukung oleh orang Islam atau bukan Islam dengan dakwaan ajaran tersebut adalah berlandaskan ajaran Islam.
Peguam Syarie, Mohd Yazid Sa’at berkata ajaran sesat moden yang disebarkan secara terbuka di media sosial menimbulkan kebimbangan yang serius dari sudut undang-undang dan keselamatan masyarakat.
“Daripada kaca mata undang-undang, penyebaran ajaran sesat ini melanggar beberapa peruntukan yang terdapat dalam undang-undang syariah dan undang-undang jenayah di Malaysia.
“Ajaran sesat yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam boleh dianggap sebagai satu bentuk pengajaran yang menyeleweng dan mengancam akidah umat Islam. Perkara ini boleh disabitkan di bawah undang-undang syariah yang melarang ajaran atau perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam yang sah. Individu yang terlibat dalam penyebaran ajaran sesat boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, penyebaran ajaran sesat melalui media sosial melibatkan penyalahgunaan teknologi dan platform digital juga yang boleh ditakrifkan sebagai menyebarkan maklumat palsu atau berbahaya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Penyebaran ini boleh menjejaskan keharmonian masyarakat, menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam dan dalam kes tertentu, menyebabkan kegelisahan awam. Ini adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” ujar beliau.
Mohd Yazid berkata di dalam konteks Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa seksyen berkaitan kesalahan berhubung dengan akidah di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 seperti pemujaan salah, doktrin palsu, mengembangkan doktrin agama dan dakwaan palsu.
“Undang-undang berkaitan kesalahan mengamalkan ajaran sesat di Malaysia adalah jelas dan tegas terutama dalam menjaga akidah umat Islam. Mana-mana individu yang memuja alam semula jadi atau melakukan apa-apa perbuatan yang menunjukkan pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana orang, binatang, tempat atau benda dengan apa-apa cara yang menyalahi hukum syarak boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
“Seterusnya, mana-mana individu yang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 9 awam yang berlawanan dengan hukum syarak atau mana-mana fatwa yang sedang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu,” ujarnya.
Menurut beliau, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) amat efektif digunakan bagi membendung kegiatan ajaran sesat dan fahaman terpesong daripada menular dalam kalangan masyarakat.
“SOSMA sememangnya digubal bagi membendung kegiatan seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara dan ia sangat digeruni oleh mereka yang melanggar undang-undang.
“Di bawah akta berkenaan, seorang pegawai polis boleh menangkap dan menahan mana-mana individu atau kumpulan tanpa waran jika individu atau kumpulan itu dipercayai terlibat kegiatan yang mengancam ketenteraman dan keselamatan negara.
“Mereka yang menyebarkan ajaran sesat dan pengikutnya boleh ditahan di bawah SOSMA apabila didapati mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat. Suspek yang ditahan hendaklah dimaklumkan sebab dia ditahan selama 24 jam bagi tujuan penyiasatan. Polis juga boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari dan peranti pengawasan elektronik boleh dipasangkan pada tertuduh sekiranya dilepaskan.
“Bagi mengekang penyebaran ajaran yang menyeleweng, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu giat mengaktifkan Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS) bagi memastikan segala tindakan dan gerak kerja menangani isu akidah dan ajaran sesat berjalan secara teratur,” ujarnya.
SEKAT SEBARAN MEDIA SOSIAL
PENYEBARAN ajaran sesat moden melalui media sosial bukan sahaja melanggar prinsip-prinsip agama tetapi juga undang-undang negara.
Mohd Yazid berkata pihak berkuasa perlu bertindak tegas untuk memantau dan mengekang penyebaran ini bagi melindungi masyarakat dan memastikan keharmonian serta kestabilan sosial terus terpelihara.
“Bagi menangani ajaran sesat di platform media sosial ini beberapa tindakan harus diambil dengan segera. Pertama, keperluan kepada undang-undang yang dapat mengawal perkembangan maklumat-maklumat yang merosakkan akidah umat Islam. Undang-undang berkaitan siber harus dinilai dan diperbaiki dari semasa ke semasa.
“Setiap agensi yang terlibat dengan pengurusan sumber alam siber seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) harus bersama-sama berpadu tenaga dan bekerjasama menyeragamkan polisi kawalan penggunaan alam siber seterusnya memastikan pelaksanaan undang-undang memelihara etika alam siber dalam kalangan masyarakat berjalan dengan baik.
“Undang-undang siber yang sedia ada seperti Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 harus digunakan dengan berkesan untuk membendung ajaran sesat ini.
“Kedua, pendidikan masyarakat untuk berhadapan dengan fenomena kecanggihan siber perlu dipertingkatkan. Pendidikan umum mengenai nilai-nilai akhlak berkaitan penggunaan alam siber seperti kesabaran, berfikir secara rasional, berlapang dada, berprasangka baik, meneliti sesuatu berita dengan mendalam (tabayyun) dan bersifat matang dalam membuat penilaian,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa masyarakat agar mempertingkatkan kefahaman dan ilmu pengetahuan tentang ajaran Islam sebenar dan tidak memandang ringan dengan situasi perkembangan ajaran sesat pada masa ini.
“Pendidikan teras agama Islam yang sebenar khususnya berkaitan akidah agama Islam dapat memberikan kefahaman yang mencukupi untuk seseorang Muslim supaya mereka tidak mudah dipengaruhi dan diselewengi oleh ajaran-ajaran yang bertentangan dengan agama Islam.
“Sesiapa sahaja yang mengikuti ajaran-ajaran yang telah difatwakan sesat dan terpesong, telah terbatal lah syahadah mereka. Perbuatan yang menyekutukan Allah ini dengan sendirinya telah membatalkan keimanan seseorang terhadap Al-Quran dan As-Sunnah.
“Justeru itu, bagi individu yang telah mempercayai ajaran sesat atau mempercayai sesuatu yang menyekutukan Allah, jika ingin kembali semula kepada agama Islam hendaklah memperbaharui syahadah dan melakukan taubat nasuha dengan sesungguhnya dan tidak akan kembali lagi ke ajaran sesat tersebut.
“Semoga kesucian agama Islam di negara ini sentiasa terpelihara daripada dicemari oleh ajaran sesat dan fahaman yang menyeleweng‚” ujarnya. – WILAYAHKU