PENYANYI dan komposer Aina Abdul, 31, dinobatkan Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 36 (ABPBH 36) yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, pada Jumaat.
Berjaya meraih sebanyak 8,882,662 undi, Aina atau nama sebenarya Nurul Aina Abdul Ghani meluahkan rasa syukur serta ucapan terima kasih buat semua yang mempercayai dirinya selama ini.
“Terima kasih ibu saya. Dia selalu rakam rancangan. Ini untuk Aination, terima kasih atas usaha-usaha undi saya, Berita Harian dan TV3. TV3 khususnya sejak saya sertai Mentor Legend.
“Kepada pasukan Aina Abdul yang sentiasa tolak insan ini bekerja dan berkarya. Satu saja saya nak cakap, jangan mengalah, Allah di atas,” katanya menerusi ucapan kemenangan itu.
ABPBH 36 juga menjadi medan bersejarah buat nama-nama lama termasuk Senario yang menang trofi Artis Komedi Popular, Rita Rudaini menang trofi pertamanya menerusi Aktres Pembantu TV Popular, dan Raja Ema (Aktres Pembantu Filem Popular).
Pemenang lain termasuk Shah Radhy menerusi ,Artis Baharu Lelaki Popular , Artis Baharu Wanita Popular – Erysha Emyra, Artis Kolaborasi/ Duo/Berkumpulan Popular – Dolla, Penyanyi Lelaki Popular – Khai Bahar, dan Penyanyi Wanita Popular – Aina Abdul.
Aktor Filem Popular dimenangi Aedy Ashraf, Aktres Filem Popular – Fasha Sandha, Aktor Pembantu Filem Popular – Alif Hadi, Aktor TV Popular – Hun Haqeem, Aktres TV Popular – Anna Jobling, Aktor Pembantu TV Popular – Shah Iskandar, Penyampai Radio Popular – Khairy Jamaluddin, dan Pengacara TV Popular – Uyaina Arshad.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada penyanyi legenda, Datuk S Atan.
Sementara lima kategori sampingan Ekstra Tonton Paling Popular adalah Couple Drama Popular yang dimenangi Amir Ahnaf & Anna Jobling (Syurga Itu Bukan Mudah), Couple Filem Popular – Bront Palarae & Nadiya Nissa (Harum Malam), Watak Antagonis Drama Popular – Aleza Shadan, Lagu Paling Boom Popular – Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda), dan Artis Sensasi Popular – Siti Nordiana.
ABPBH 36 dihoskan Didie Alias, Haniff Hamzah dan Riena Diana.
Acara itu dihangatkan dengan persembahan daripada Zamani, Spider, Hazama, Haqiem Rusli, Hael Husaini, Syamel, Ernie Zakri, Marsha Milan, Shiha Zikir, De Fam, Usop, Ghidd, Tuju, Meerfly, dan Benzooloo.
Penyampai trofi adalah Aniq Dhurar, Fitri Farouk, Kak Engku, Hanna Delisha, Adi Putra, Atu Zero, Syarif Zero, Azhar Sulaiman, Anna Jobling, Bella Astillah, Muaz Zabir, Datuk Seri Eizlan Yusof, Rita Rudaini, Adira Suhaimi, Puteri Sarah, dan Mawar Rashid.
ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.
ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama. – WILAYAHKU