Berita

AIH galak amalan hijau

- Diterbit 27 September 2024 6:27 PM MYT

SELARAS dengan aspirasi Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam menjadikannya bandar hijau rendah karbon, satu Anugerah Inisiatif Hijau (AIH) Putrajaya diadakan untuk meningkatkan penglibatan penduduk dan warga kerjanya dalam melaksanakan inisiatif hijau yang kreatif dan inovatif.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, objektif utama AIH Putrajaya adalah untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada institusi awam dan swasta yang telah mengamalkan inisiatif rendah karbon secara berterusan di Putrajaya.

“AIH Putrajaya merupakan salah satu inisiatif di Bawah Pelan Tindakan Perubahan Iklim Putrajaya 2030 (PCAP 2030) – Tindakan S1: Transform Existing Resident’s Association, Local Business and Industries into Low Carbon Communities.

“Sebanyak 22 penyertaan yang diterima daripada sekolah, institusi awam dan swasta telah layak menerima anugerah ini untuk empat inisiatif AIH Putrajaya 2024 iaitu penjimatan elektrik, penjimatan air, pengurangan sisa pepejal dan kenderaan rendah karbon,” ujarnya.

Fadlun berkata adalah menjadi harapan PPj bahawa anugerah ini dapat memberi motivasi dan dorongan kepada institusi awam atau swasta di Putrajaya untuk terus melaksanakan amalan hijau rendah karbon sebagai sebahagian daripada operasi dan pengurusan di premis.

“Perkara ini secara langsung dapat menyumbang kepada pencapaian sasaran pengurangan pelepasan karbon Putrajaya sebanyak 33 peratus menjelang tahun 2030.

“Di samping itu, ia juga dapat memberi manfaat kepada premis dalam menjimatkan kos operasi khususnya bayaran bil elektrik, air dan pengurusan sisa pepejal,” ujar beliau.

Terdahulu, penganjuran anugerah ini dilaksanakan bersama rakan strategik iaitu Tenaga Nasional Berhad, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd dan Suruhanjaya Tenaga. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas