Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Artikel

Aidiladha mewarnai kehidupan

RAKYAT menerima berita gembira yang diumumkan Anwar pada sambutan Hari Raya Aidiladha tahun in
- Diterbit 21 Jun 2024 10:30 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

UMAT Islam menyambut Hari Raya Aidiladha baru-baru ini. Suasana meriah di serata kampung dan desa serta taman-taman perumahan tertumpu di surau dan masjid apabila upacara menyembelih lembu korban dilakukan.

Kisah lembu lari, kemeriahan melapah dan membahagi daging korban menjadi cerita utama di media-media sosial.

Menjelang hari raya, umat Islam akan sibuk membeli-belah di pasar dan kedai-kedai runcit bagi membuat persiapan menyambut hari raya.

Berbeza dengan Hari Raya Aidilfitri, juadah utama Hari Raya Aidiladha adalah berasas daging korban. Resipi sup, gulai, kari dan sebagainya menjadi masakan utama.

Namun begitu, ketika membeli- belah, ayam, telur, sayur, rempah, santan dan sebagainya tetap menjadi tumpuan pembeli.

Kebiasaannya, menjelang hari perayaan, keperluan bahan-bahan ini meningkat secara mendadak.

Sebab itulah, menjadi kebiasaan, bahan-bahan mentah ini naik harga menjelang hari perayaan sesuai dengan konsep penawaran dan permintaan.

Namun, pada Hari Raya Aidiladha tahun ini, berita baik diterima pengguna apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga telur, yang menjadi bahan kawalan telah diturunkan 3 sen untuk semua gred.

Perdana Menteri berkata harga runcit baharu bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing ditetapkan 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata penurunan harga runcit itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa yang menunjukkan berlaku penurunan kos input pengeluaran telur ayam, terutama bahan asas kepada makanan haiwan berkenaan.

Selain itu, katanya, inisiatif berkenaan adalah selaras usaha kerajaan mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

“Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini membabitkan perbelanjaan RM100 juta, manakala peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta pada 2023.

“Manakala harga runcit bagi telur di Sabah, Sarawak dan Labuan juga akan diselaraskan mengikut bahagian dan zon yang diwartakan.

“Ingin saya tegaskan, masalah atau isu terkait kos kehidupan rakyat akan terus ditangani kerajaan secara lebih proaktif dan berkesan sambil berusaha sebaiknya dalam memampan dampak buruk ke atas kehidupan harian rakyat,” katanya dalam kenyataan pada 17 Jun iaitu ketika umat Islam menyambut Aidiladha.

Bagi sesetengah pihak, ini perkara remeh dan tidak perlulah Perdana Menteri yang mengumumkannya. Namun bagi kebanyakan pengguna, pengurangan 3 sen sebiji bererti pengurangan 30 sen untuk 10 biji telur yang lazim dibeli pengguna.

Peniaga makanan seperti nasi lemak, roti canai dan seumpamanya adalah pihak yang akan terasa dengan pengurangan harga 3 sen sebiji ini kerana mereka paling banyak menggunakan telur.

Sebab itulah, kalau ketika tahun 2000 – 2023 sebelum ini, telur sukar didapati di pasaran, sekarang bukan sahaja telur berlambak di pasaran bahkan harganya jauh lebih rendah.

Sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini juga agak panas dengan isu penarikan subsidi pukal diesel oleh kerajaan. Kerajaan menetapkan harga diesel adalah mengikut harga pasaran.

Anwar mengakui beliau menjadi sasaran oleh rakyat ekoran penyasaran subsidi diesel yang dibuat kerajaan.

“Saya kena maki berbakul-bakul, Perdana Menteri tidak prihatin dan tidak fikir mengenai rakyat. Dia fikir gembira sahaja pergi jalan sana sini.

“(Malaysia) Madani sudah jadi Madanon. Saya tidak ada masalah dan kita kena jawab dengan fakta,” katanya dalam ucapan sempena perhimpunan warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri.

Bagi beliau, langkah penyasaran subsidi diesel ini perlu bagi mengurangkan ketirisan bahan api itu kerana terdapat nelayan-nelayan negara asing turut menikmati diesel pada harga subsidi yang diperuntukkan khusus kepada rakyat negara ini.

“Kita harus selamatkan subsidi diesel dan bagaimana kita boleh hilang begitu sahaja.

“Subsidi diesel RM4 bilion, RM1.2 bilion subsidi ayam dan tidak ada pihak yang mahu ambil tindakan sebab tidak popular,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, penjimatan daripada penyasaran subsidi yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan akan dikembalikan kepada rakyat seadilnya.

Sebelum ini, Anwar berkata penjimatan menerusi penyasaran subsidi diesel akan dikembalikan kepada rakyat khususnya bagi menampung keperluan pengangkutan awam dan suntikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Kita tidak dera rakyat miskin. Setiap sen tambahan, kita pulangkan balik,” katanya.

Perdana Menteri juga mahu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan atau perkhidmatan meskipun menerima subsidi diesel.

Menteri Kewangan itu berkata subsidi diesel ketika ini masih diteruskan kepada golongan berhak merangkumi nelayan, pengusaha bas sekolah dan pekebun kecil.

Mengambil contoh perkhidmatan bas sekolah yang menerima subsidi diesel, beliau berkata pengusaha bas berkenaan bakal berdepan tindakan lesen dibatalkan jika menaikkan harga perkhidmatan mereka.

“Kita bagi amaran, kamu diberi subsidi (diesel)… jika kamu naik (harga) juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu dan batalkan syarat,” katanya.

Dengan jaminan dan pelaksanaan penyasaran yang dibuat, hanya mereka yang belum faham dan pihak berkepentingan sahaja yang akan membantah tindakan kerajaan ini.

Kerana itu, menurut pengamatan saya, pelaksanaan subsidi bersasar sebegini adalah lebih adil dan bakal diterima rakyat dengan baik setelah semua faham kenapa ia dilakukan dan kesan baiknya terasa.

 Ini sekadar pandangan penulis sahaja.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas