Berita

Ahmad Zahid beri jaminan bantu mangsa ribut di Sekijang – Dr Zaliha

- Diterbit 4 November 2024 7:13 PM MYT

MANGSA ribut di Parlimen Sekijang dua hari lalu akan mendapat bantuan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri KKDW serta turut bertanggungjawab terhadap NADMA memberikan jaminan untuk membantu penduduk yang terjejas.

“Saya maklum kepada YAB TPM berkenaan kejadian ribut yang berlaku di Sekijang dua hari lalu. Alhamdulillah, beliau beri jaminan bahawa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan NADMA akan selaras dan segerakan bantuan yang sepatutnya kepada mangsa,” katanya dalam hantaran di Facebooknya selepas mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid di parlimen hari ini.

Zaliha berkata antara perkara lain yang dibincangkan adalah berkaitan persediaan menghadapi cuaca tidak menentu di daerah Segamat, khususnya di Parlimen Sekijang termasuk potensi banjir di mana ada keperluan untuk menilai pembinaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang lebih selesa.

“Selain itu, saya juga turut bangkitkan berkenaan pembinaan jambatan yang menghubungkan FELDA Medoi dan FELDA Kemelah yang memerlukan tindakan segera dari pihak KKDW.

“Secara tuntasnya, perbincangan sebentar tadi adalah positif untuk kemaslahatan rakyat di Parlimen Sekijang,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas