SIDANG Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) meluluskan usul khas bagi menyokong usaha Malaysia untuk melucutkan keanggotaan rejim Zionis Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Usul ini dikemukakan wakil Labuan, Irham Zulhilmi Mohd Johan dalam Mesyuarat Kedua Sidang Belia Wilayah Persekutuan Penggal 2024 yang dipengerusikan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, hari ini.
Usul itu dibahaskan susulan ucapan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat pada 4 November lalu.
Perdana Menteri memaklumkan Malaysia sudah pun menyediakan satu draf resolusi kepada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang antara lain mencadangkan agar Israel disingkir sebagai anggota pertubuhan itu sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang, hukum dan keputusan dalam isu membabitkan Palestin.
“Isu Palestin membabitkan sejarah penindasan yang berlarutan serta kekejaman yang diakui sebagai genosid oleh pelapor khas PBB.
“Serangan demi serangan yang mengorbankan puluhan ribu jiwa, termasuk wanita dan kanak-kanak, menggambarkan penderitaan mendalam yang ditanggung oleh rakyat Palestin sejak
beberapa dekad lalu.
“Sehingga kini, lebih 43,000 jiwa terkorban, sementara ribuan lagi cedera. Sidang ini ingin menekankan bahawa usaha ini bukan semata- mata isu politik, tetapi adalah perjuangan kemanusiaan sejagat,” kata Irham.
Menurut Irham lagi, resolusi itu adalah satu usaha signifikan Malaysia dalam menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin serta komitmen negara dalam memperjuangkan hak
kemanusiaan sejagat.
Irham juga menegaskan isu keganasan bukanlah isu agama atau bangsa tertentu, tetapi isu kemanusiaan sejagat yang menuntut perhatian dan tindakan semua pihak.
“Sebagai generasi pelapis, peranan belia dalam menyokong resolusi ini adalah penting bagi menegakkan keadilan dan hak asasi manusia.
“Golongan belia mempunyai tanggungjawab moral untuk menolak segala bentuk penindasan dan keganasan.
“Sokongan ini melambangkan komitmen belia di Wilayah Persekutuan dalam memastikan keamanan dunia yang bebas daripada penindasan.
“Ahli Sidang Belia Wilayah Persekutuan secara sebulat suara bersetuju bahawa tindakan tegas diperlukan untuk menghentikan penindasan ini dan menyokong penuh
usaha kerajaan dalam membawa resolusi ini ke peringkat antarabangsa.
“Keputusaan Ahli Sidang Belia Wilayah Persekutuan menyokong resolusi ini melambangkan suara kuat generasi muda Malaysia dalam isu antarabangsa yang kritikal,” katanya lagi.
Sokongan inimenunjukkan solidariti rakyat Malaysia dan menegaskan bahawa pemuda negara bersedia untuk tampil ke hadapan dalam memperjuangkan isu hak asasi di peringkat global.
Keputusan ini diharap dapat memberikan momentum kepada komuniti antarabangsa untuk bertindak demi keamanan dan kesejahteraan sejagat.
Mesyuarat Kedua SBWP Penggal 2024 berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah) Dr Zaliha Mustafa dijadualkan menggulung keseluruhan perbahasan Mesyuarat Kedua SBWP esok. – WILAYAHKU