Satu tanggungjawab moral kepada ahli politik bagi menolak pencen yang layak diperlolehi dan memilih satu sahaja skim pencen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata orang yang mendapat pencen seperti bekas menteri, menteri besar dan pegawai kerajaan yang menerima tiga hingga empat pencen wajar menolak dan hanya memilih satu daripadanya.
“Cuma dari segi moral orang yang dapat gaji Menteri, Menteri Besar atau pekerja jabatan kerajaan yang dapat tiga empat pencen.
“Mungkin melihat keadaan ini, memenuhi tanggungjawab moral mereka untuk menolak pencen yang lain dan memilih satu, terserah kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikan selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun Ke-60 Zoo Negara, hari ini.
Tambah Anwar, perubahan skim pencen perkhidmatan awam hanya terpakai untuk penjawat awam baharu berikutan kakitangan kerajaan terdahulu dan sekarang tetap terikat dengan undang-undang sedia ada.
“Perlembagaan Persekutuan tidak membolehkan kita membatalkan apa yang telah dipersetujui sebelum ini, yang kita nak mulakan peraturan baharu yang boleh berkuat kuasa setelah diputuskan bagi jawatan-jawatan baharu termasuklah jawatan politik.
“Itu cadangan kita yang kita akan bentang di Jemaah Menteri dan di Parlimen kerana melibatkan beberapa pindaan undang-undang. Jadi, tidak boleh batalkan sedia ada kerana ia sudah terikat dengan perjanjian dan juga jaminan Perlembagaan,” ujarnya. – WILAYAHKU.