SIASATAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kepercayaan Aurad Muhammadiah yang diwarisi sejak era Al-Arqam masih diamalkan ahli dan pengikut GISBH.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dapatan itu diperoleh hasil pengakuan mereka yang ditahan dan disoal siasat pihak berkuasa.
“Kalaupun ada kenyataan di luar yang menyebut bahawa mereka sudah tidak lagi mengamalkannya, itu kenyataan mereka.
“Kita akan hanya bercakap berasaskan kepada butiran dan dapatan siasatan yang berlaku,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi Penerangan Menteri berkenaan isu GISBH dari aspek kesalahan jenayah di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i).
Beliau menambah, apabila polis mengambil tindakan, ada satu bahagian yang dipanggil tangkapan dan ada bahagian menyelamatkan.
“Yang kita selamatkan adalah 625 kanak-kanak. Kita asingkan pula pecahan kanak kanak yang sudah ada identiti diri, ada sijil lahir, ada Mykad. Ada juga kanak kanak yang tiada sijil lahir, tiada Mykad, ada yang lambat daftar, ada juga terdiri kanak kanak yang kita kategorikan sebagai tidak sah taraf.
“Menjadi tanggungjawab kerajaan, sementara siasatan dibuat untuk membetulkan keadaan ini, kerajaan juga harus memikirkan masa depan kanak-kanak ini.
“Memberikan identiti yang betul, yang sah mengikut peraturan undang-undang dalam negara kita. Kemudiannya, aspek kebajikan kanak kanak ini akan diberi perhatian di bawah tanggungjawab kementerian yang lain,” katanya.
Malah katanya, di pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), mereka akan membina family tree bagi mengelakkan masalah nasab apabila anak yang ditinggalkan dalam keadaan tidak mengenali susur galur keluarga.
“Itu semua dilakukan secara telus oleh pakar-pakar psikologi kita. Di polis, kita ada D11, dan ini melibatkan peranan yang besar bilangannya, ribuan anggota polis dan juga pegawai kerajaan di peringkat kementerian.
“Kementerian memperhalusi isu ini satu persatu, diasingkan, setelah dilakukan apa yang kita panggil sebagai proses krisis intervention terhadap kanak kanak ini.
“Ada elemen traumanya, ketakutannya, ada aspek penderaannya. Ia satu yang nyata dan bukan mudah satu proses ini hendak diambil terutama kalau melibatkan kanak-kanak di bawah daripada had umur yang boleh bercakap dengan berani, berterus terang. Itu adalah proses yang sedang berjalan,” katanya. – WILAYAHKU