SEORANG anggota Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini terhadap pertuduhan menggugut seorang wanita yang juga bekas ahli organisasi itu supaya menarik balik laporan polis terhadapnya pada 9 September lalu.
Mohamad Rizar Makar, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Ahmad Afiq Hasan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berniaga sendiri didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita di tempat letak kenderaan Galeria, Presint 4 Putrajaya pada 10 malam 9 September lalu.
Suami kepada tiga isteri yang juga bapa 10 anak itu didakwa mengugut wanita terbabit apabila berkata: “kami tahu dekat mana rumah suami dan keluarga”, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran supaya bekas ahli GISBH itu menarik balik laporan polis.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada ugutan jenayah yang mana ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman menawarkan ikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat polis berdekatan sebulan sekali.
Peguam Zufikri Ulul Azmin merayu jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh mempunyai tiga orang isteri dan 10 orang anak serta bekerja sendiri yang berpendapatan RM4,000 sebulan.
Manakala, tertuduh ketika di dalam mahkamah turut meminta jaminan dikurangkan kerana baru mempunyai anak yang baru dilahirkan berumur sebulan dan perlu menanggung anak yang ramai dan masih bersekolah.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Ahmad Afiq kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dimohon pendakwaan serta menetapkan 18 Oktober untuk sebutan semula kes.
Beliau juga mengarahkan tertuduh supaya tidak mengganggu, menghampiri atau menghubungi wanita terbabit sehingga perbicaraan kes selesai. – WILAYAHKU