Berita

AGPG terima lima pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR)

- Diterbit 28 Februari 2025 2:24 PM MYT

AYAM Gepuk Pak Gembus (AGPG) menerima lima pengiktarafan daripada Malaysia Book of Record (MBOR).

Pencapaian itu termasuk jenama ayam gepuk pertama di Malaysia dan diperakui halal, rangkaian makanan ayam gepuk terbesar, nilai jualan tertinggi ayam gepuk dalam setahun dan jumlah ayam gepuk terjual terbanyak dalam setahun.

Ketua Pegawai Operasinya, Zulkarnain Mohd Yusof berkata, pengiktirafan itu bukan sekadar satu pencapaian, tetapi tanggungjawab besar kepada pengguna dan industri.

“Pensijilan halal yang diterima membuktikan komitmen kami dalam menyediakan makanan yang selamat, bersih, dan berkualiti tinggi kepada pelanggan

“Dengan adanya pensijilan halal, jenama seperti Ayam Gepuk Pak Gembus bukan sahaja dapat memenuhi keperluan pasaran tempatan tetapi juga berpotensi untuk berkembang ke peringkat antarabangsa,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah The Malaysia Book of Records.

Majlis disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono dan Pengasas Ayam Gepuk Pak Gembus
Indonesia, Rido Nurul Adityawan.

Sementara itu Zulkarnain menambah, AGPG akan memastikan setiap cawangan mempunyai pensijilan halal yang disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ini termasuk kira-kira 40 cawangan yang bakal dibuka pada tahun ini.

“Pengiktirafan ini membuktikan kepada pelanggan bahawa piawaian terbaik dan halal sentiasa menjadi keutamaan dan dipraktikkan dalam penyediaan
makanan,” katanya lagi.

AGPG yang memulakan perniagaan pada 2017 sedang merancang pembukaan cawangan di Sabah & Sarawak dan di luar negara.

Ia menandakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi pengembangannya di peringkat global.

Pada majlis berkenaan, mereka turut memperkenalkan produk terbaru, Sambal Kemiri, yang
dilancarkan secara eksklusif untuk para hadirin.
Produk inovatif ini merupakan tambahan baharu dalam keluarga Pak Gembus, berbeza daripada sambal ikonik yang disajikan di restoran.

Bagaimanapun sambal kemiri akan tersedia untuk pembelian melalui platform edagang seperti Shopee dan TikTok Shop.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas