YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menikmati santapan pagi bersama rakyat dan kakitangan Seri Paduka di sebuah restoran di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut hantaran di Facebook, dalam suasana penuh mesra, Seri Paduka turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama rakyat.
“Rakyat juga teruja berpeluang bertemu secara langsung dengan Seri Paduka,” jelas hantaran tersebut.
Selepas selesai menikmati santapan pagi, Yang di-Pertuan Agong berkenan berjalan kaki meninjau kebersihan dan keadaan persekitaraan di sekitar kawasan ibu kota.
“Seri Paduka amat prihatin terhadap kebersihan serta kesejahteraan persekitaran awam, sejajar dengan usaha memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai sebuah bandar raya yang bersih dan teratur,” katanya. – WILAYAHKU