Berita

Agong puas hati persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2024

- Diterbit 28 Ogos 2024 6:41 PM MYT

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa puas hati dengan persiapan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 yang akan berlangsung Sabtu ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata beliau dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa mempersembahkan taklimat mengenai persiapan sambutan itu kepada Seri Paduka Baginda di Istana Negara semalam. 

“Tuanku berpuas hati dengan persiapan dan tidak ada apa-apa perkara yang luar daripada jangkaan, insya-Allah,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Menyentuh tentang persiapan dari segi kelancaran capaian Internet, beliau berkata sebanyak 36 kenderaan Cell on Wheels (COW) disediakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi di sepanjang lokasi perbarisan bagi menampung jumlah kehadiran pengunjung yang tinggi.

“Capaian Internet di pusat media juga ditambah baik menerusi beberapa titik akses dan Wi-Fi memandangkan aduan yang diterima tahun lepas berkaitan dengan kualiti capaian yang kurang baik,” ujarnya.
 
Dalam masa sama, beliau berkata laluan ke Core Island iaitu lokasi perbarisan kontinjen akan ditutup pada 31 Ogos dan orang ramai diminta mengambil pengangkutan awam yang disediakan antaranya bas dan teksi air.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini diadakan di Dataran Putrajaya dengan tema Malaysia MADANI, Jiwa Merdeka. Ia dianjurkan di Putrajaya buat julung kalinya pada 2003, seterusnya pada 2005, 2018, 2019 dan 2023. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas