Berita

Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi gempa bumi Maghribi

SERI Paduka Baginda berdua berduka cita atas kehilangan ribuan nyawa dalam tragedi tersebut. - Gambar hiasan
- Diterbit 12 September 2023 4:34 AM MYT

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang meninggal dunia ekoran tragedi gempa bumi di Maghribi pada Jumaat lepas.

Dilaporkan, sehingga kini seramai 2,862 orang telah terkorban, manakala 2,500 orang yang cedera akibat bencana alam itu.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata Seri Paduka Baginda berdua berduka cita atas kehilangan ribuan nyawa dalam tragedi tersebut.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah serta Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar roh-roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh.

“Al-Sultan Abdullah serta Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada Raja Mohammed VI, Kerajaan Maghribi dan rakyatnya atas musibah yang telah melanda dengan kehilangan nyawa ribuan rakyat dan kerosakan harta benda serta infrastruktur,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya lagi, Seri Paduka Baginda berdua dan Malaysia bersolidariti dengan rakyat Maghribi dan mendoakan agar mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan akibat tragedi itu dapat diselamatkan dengan segera serta mereka yang tercedera dikurniakan kesembuhan segera. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas