KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di sini, sempena lawatan selama dua hari bermula hari ini.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua tiba di Lapangan Terbang Labuan pada jam 11.00 pagi disambut oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Na’im Mokhtar dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosida Jaafar.
Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong turut berkenan untuk pemasyhuran Masjid Al-Sultan Abdullah iaitu masjid baharu Kampung Sungai Bedaun dan seterusnya menyempurnakan solat Jumaat di masjid berkenaan bersama komuniti kampung Sungai Bedaun.
Pada sebelah petang ini, Seri Paduka berdua dijadual berangkat ke Bazar Ramadan Labuan Walk dan seterusnya berangkat ke Masjid Jamek An Nur bagi menghadiri program Nur Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa. – WILAYAHKU