MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan memperuntukkan sejumlah RM1.6 juta bagi pelaksanaan inisiatif agihan bantuan makanan berbungkus kepada golongan asnaf.
Menurut Pengurus MAIWP Labuan, Md Fadzli Md Saad, inisiatif secara tahunan itu membabitkan penyediaan sebanyak 144,000 bungkus makanan dengan agihan 600 pek sehari selama 20 hari setiap tahun.
Katanya agihan makanan tersebut dilaksanakan oleh pengendali makanan yang telah dilantik dan bertujuan memastikan golongan asnaf mendapat makanan mencukupi.
“Inisiatif ini dilaksanakan selama setahun bermula Januari hingga Disember ini dan agihan dibuat lima hari seminggu melibatkan tiga zon di Labuan.
“Bantuan ini merupakan inisiatif MAIWP dalam menyantuni asnaf, golongan terjejas dan golongan B40 bagi mendapatkan bekalan makanan secara percuma.
“Di samping itu, ia membantu meringankan beban asnaf dalam menampung perbelanjaan untuk membeli keperluan makanan harian,” katanya pada Majlis Iftar Bersama Asnaf baru-baru ini.
Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
Pada majlis tersebut, MAIWP menyampaikan bantuan bernilai RM50,000 kepada Surau Fath Al-Bari Pusat Koreksional Labuan bagi pelaksanaan program pendidikan dan kerohanian prospek.
Selain itu, seramai 720 asnaf dan keluarga diraikan yang terdiri daripada penerima bantuan Bulanan Sara Hidup MAIWP, ibu tunggal, warga emas serta asnaf yang mempunyai tanggungan ramai.
Seramai 240 ketua keluarga menerima sumbangan bakul makanan dengan jumlah kos keseluruhan RM36,000 manakala 100 anak asnaf turut menerima sumbangan duit raya RM50 seorang daripada MAIWP. – WILAYAHKU