Berita

Agih subsidi bersasar dengan cekap, berkesan

Foto: BERNAMA
- Diterbit 3 Februari 2025 1:03 PM MYT

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan kerajaan supaya melaksanakan pengagihan subsidi bersasar dengan cekap dan berkesan.

Malah tegas Seri Paduka, ia perlu difokuskan kepada kumpulan yang benar-benar layak sahaja.

“Saya menyambut baik pendekatan subsidi bersasar yang telah berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan.

“Namun saya menggesa agar ia diagihkan dengan cekap dan berkesan kepada kumpulan yang benar-benar layak sahaja,” titah Seri Paduka dalam Titah Diraja sempena istiadat pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ke-15 hari ini.

Terdahulu Seri Paduka menzahirkan rasa syukur dengan perkembangan ekonomi termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik.

Sultan Ibrahim turut bersyukur dengan nilai ringgit yang kembali kukuh selain kadar pengangguran kekal rendah.

Pada tahun lepas, titah Seri Paduka, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor.

Titah Seri Paduka, jumlah perdagangan negara pula melepasi angka RM2 trilion untuk tempoh sembilan bulan pertama.

“Saya mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri dan kerajaan di atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan ini.

“Saya harap ia akan terus ditingkatkan,” titah Seri Paduka.

Namun begitu Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan hendaklah menentukan agar prestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat dan bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas