Berita

Agih kurma bagi imarahkan Ramadhan

PEJABAT Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dengan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 5, Bandar Tun Razak itu diambil sebagai meraikan petugas agensi keselamatan serta kesihatan yang sentiasa cekal berkhidmat untuk rakyat.
- Diterbit 6 April 2022 8:14 AM MYT

SEJUMLAH 300 pek buah kurma diagihkan kepada petugas barisan hadapan daripada pelbagai agensi sempena mengimarahkan Ramadan tahun ini yang disambut dalam suasana penuh harmoni dan selesa.

Inisiatif hasil kerjasama antara Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dengan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 5, Bandar Tun Razak itu diambil sebagai meraikan petugas agensi keselamatan serta kesihatan yang sentiasa cekal berkhidmat untuk rakyat.

Pengerusi MPPWP Sub Zon 5 Farouk Mohd Noor berkata, sesi kunjungan santai sambil mengagih buah tangan itu adalah saranan Datuk Kamarudin Jaffar mahukan anggota Polis dan Bomba selaim petugas di Klinik Kesihatan Sg. Besi disantuni sebagai tanda sokongan terhadap peranan mereka.

Katanya, semua kurma tajaan Pejabat Ahli Parlimen yang juga Timbalan Menteri Luar itu diagih secara berperingkat termasuklah diserahkan sendiri oleh Kamarudin kepada Balai Polis Sungai Besi, malam Selasa lalu sebaik selesai solat sunat Taraweh.

“Hari ini pula, inisiatif agihan kurma ini kami teruskan ke Balai Bomba & Penyelamat Sg. Besi sebanyak 100 pek diikuti pula dengan Klinik Kesihatan Sg. Besi (100 pek) sebagai tanda penghargaan terhadap para petugas selain mengimarahkan Ramadan tahun ini.

“Tidak dilupakan Pejabat Cawangan DBKL Bandar Tun Razak yang diserahkan kepada Pengurus Kawasan, Asyqoh Yusof sebagai mengeratkan silaturahim dan bekerjasama sedia terjalin antara perwakilan penduduk, pemimpin setempat dengan PBT,” katanya.

Farouk ditemui media ketika menyerahkan 100 pek kurma kepada Ketua Balai Bomba Penyelamat Sungai Besi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Firdaus Dzulkifli.

Sementara itu, sejumlah 20,000 pek kurma diperuntukkan oleh Pejabat Ahli Parlimen sepanjang Ramadan untuk diagih kepada penduduk setempat sebagai satu inisiatif menyantuni masyarakat serta bersedekah sempena bulan yang mulia. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas