AGENSI media di negara ini disaran supaya menubuhkan koperasi yang mampu memberi manfaat besar kepada ahli-ahlinya.
Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, dengan keahlian seramai 20 orang, ia sudah memadai untuk menubuhkan koperasi.
“Kalau belum ada koperasi, buatlah (tubuh).
“Media ini kita anggap sebagai salah satu komuniti yang kita amat galakkan untuk menubuhkan koperasi. Ada 20 orang sudah boleh buat (tubuhkan) koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena program SKM x Media: Meet-Up di ibu negara semalam.
Beliau turut menyampaikan sijil serta plak penghargaan kepada wakil-wakil media termasuk Wilayahku.
Wilayahku diwakili Penolong Pengurus Operasi dan Pemasaran YWP Media, Nor Sabrina Ayu Nordin.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Datuk Rusli Jaafar.
Pada majlis tersebut, beliau mengimbau kenangan lama bertugas dengan beberapa wartawan yang kini sudahpun menjadi senior atau bersara.
Terdahulu beliau mengulangi hasrat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick untuk meremajakan koperasi agar dapat membangunkan anak muda melalui organisasi berkenaan.
“Kita mahu meremajakan koperasi bagi merealisasikan inspirasi anak muda. Jadi media boleh memainkan peranan juga dalam memajukan koperasi ini,” tambahnya.
Fungsi dan aktiviti koperasi merentasi pelbagai bidang termasuk kewangan, perumahan, kepenggunaan, perladangan, perindustrian dan perkhidmatan.
Kerangka Dasar Koperasi Malaysia 2030 merupakan hala tuju strategik bagi pembangunan koperasi dalam meningkatkan prestasi ekonomi dan kesejahteraan sosial anggotanya dengan visi menjadikan sektor ini sebagai pemangkin utama pertumbuhan sosioekonomi Malaysia.
DaKoM 2030 dibentuk bagi mencapai tiga objektif iaitu menjadikan sektor koperasi sebagai penyumbang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia; membentuk koperasi yang berkemampuan dan kukuh serta diterima rakyat Malaysia dan meletakkan koperasi sebagai model perniagaan pilihan dalam memacu pembangunan sosioekonomi Malaysia. – WILAYAHKU