SEMUA pihak termasuklah agensi kerajaan, pihak swasta dan komuniti Wilayah Persekutuan diseru untuk bersama-sama menjayakan dasar Bandar Pintar Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, peranan semua pihak diperlukan bagi mendapat data yang lengkap dalam membangunkan sistem bandar pintar yang lebih komprehnsif dan inklusif.
Katanya, pihak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan agensi sedang menyediakan dasar dan pelaksanaan inisiatif sebelum ia boleh dimanfaatkan untuk semua warga Wilayah Persekutuan.
“Contohnya kalau kita kata hendak buat bandar pintar dari sudut ingin melaksanakan pengangkutan digital, jadi kita memerlukan maklumat daripada Kementerian Pengangkutan (MoT). Jadi semua itu perlu diambil kira untuk kita memastikan sistem sedia ada melengkapi semua keperluan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan logo rasmi Inisiatif Bandar Pintar Wilayah Persekutuan di Smart Nation Expo yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur pada Rabu.
Hadir sama Ketua Pengarah JWP, Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim.
Zaliha berkata, menjelang tahun 2025 ini pihaknya akan mengambil pendekatan ke hadapan untuk memperkukuh sistem sedia ada dan ia akan dilengkapi dengan teknologi analitik data raya.
“Seperti yang sedia maklum, sistem ini penting dan ia akan membantu kita membuat keputusan atau polisi yang jauh lebih tepat.
“Teknologi masa nyata atau real time technology yang ini kita sudah ada di Putrajaya, kita boleh melihat masa nyata apa yang sedang berlaku di kawasan Putrajaya.
“Selain itu, jika hendak memantau paras air ketika musim tengkujuh, kita boleh dapat tahu maklumat berkenaan sekiranya mempunyai sistem tersebut yang boleh terus mengeluarkan amaran ke pusat kawalan dan cepat akan dilaksanakan. Insya-Allah kita akan terus memperbaiki sistem yang ada dalam Smart City Initiative,” katanya.
Terdahulu, Zaliha melancarkan logo rasmi Inisiatif Bandar Pintar Wilayah Persekutuan. Ia menandakan komitmen kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di Wilayah Persekutuan melalui pendekatan bandar pintar yang inovatif.
Di bawah payung Bandar CHASE (Clean, Healthy, Advanced, Safe dan Eco-friendly), inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh tadbir urus bandar serta mempersiapkan Wilayah Persekutuan untuk menjadi setanding dengan bandar pintar bertaraf dunia melalui tujuh komponen utama iaitu: Smart Governance, Smart Economy, Smart Living, Smart People, Smart Mobility, Smart Environment dan Smart Digital Infrastructure.
Pelaksanaan kepada inisiatif bandar pintar ini akan diteraskan kepada dokumen strategik Blueprint Bandar Pintar Wilayah Persekutuan 2030 (MySmartWilayah 2030) yang telah diperkenalkan sejak April 2021 merangkumi 25 dasar strategik, 76 tindakan utama, 118 indikator dan 25 KPI utama.
Blueprint ini turut diperkuatkan dengan pelan tindakan spesifik bagi setiap Wilayah Persekutuan, iaitu Pelan Utama Bandar Pintar Kuala Lumpur 2021-2025 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pelan Tindakan Bandar Pintar Putrajaya 2018-2025 bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Pelan Tindakan Bandar Pintar Wilayah Persekutuan Labuan 2021-2030 bagi Wilayah Persekutuan Labuan.
Sehingga kini, melalui semua pelan tindakan ini, Kuala Lumpur telah mencapai 22 daripada 28 inisiatif, Putrajaya mencapai 70 daripada 92 inisiatif dan Labuan mencapai 16 daripada 50 inisiatif yang telah ditetapkan. – WILAYAHKU