Selebriti

“Agamawan sukar tegur rakan yang ada skandal”… Baby Shima setuju dengan Thaqib

- Diterbit 16 Oktober 2022 9:04 AM MYT

TEGURAN atau pandangan seorang penulis bebas yang juga popular dalam laman sosial iaitu Thaqib atau @thaqibbinshaker hangat diperkatakan dalam kalangan netizen.

Menurut Thaqib menerusi videonya, para agamawan seolah-olah memilih orang untuk ditegur atau dinasihati.

Kebiasaannya, golongan artis sentiasa menjadi sasaran untuk ditegur secara terbuka dalam media sosial berbanding mereka yang bukan selebriti.

“Sebahagian agamawan cukup suka menegur artis, tetapi cukup sukar menegur rakan-rakan agamawan mereka yang terpalit dengan pelbagai jenis skandal. Kalau tegur pun sangat lunak.

“Cukup berbeza dengan cara mereka menegur artis atau orang kebanyakan.

“Sebahagian agamawan juga cukup sukar untuk menegur ahli politik, entah mengapa. Realitinya, sebahagian agamawan suka menegur tetapi tidak suka ditegur,” katanya.

Menurut Thaqib lagi, cara atau sikap agamawan ini menyebabkan sesetengah pihak memandang serong terhadap mereka.

“Sikap sebahagian agamawan ini, menyebabkan orang ramai mula menjauhi dan tidak menyukai pada agama. Kesian (kasihan) agamawan lain yang ikhlas dalam perjuangan.

“Kepada para artis, terus mengkritik dan dedahkan salah laku agamawan-agamawan ini kerana mereka bukan seorang Nabi atau Rasul.

“Bermuhasabahlah wahai para agamawan,” ujarnya lagi.

Manakala penyanyi popular Baby Shima yang turut berkongsi video berdurasi 50 saat itu dalam media sosialnya  mengaku bersetuju dengan pandangan serta teguran Thaqib yang dilihatnya tidak memilih bulu.

“Saya berkongsi pandangan Thaqib dalam media sosial saya kerana sangat bersetuju dengan nasihatnya.

“Ini kerana, sesiapa yang ingin memberi nasihat atau teguran, perlu adil kepada semua. Jangan memilih. Bukan hanya mencari kesalahan artis dan sebar-sebarkan dalam media sosial.

“Iya, boleh tegur dan tiada masalah. Cuma teguran itu janganlah berat sebelah kepada artis sahaja. Siapa pun status seseorang, tak kiralah artis atau tak, tiada manusia yang sempurna.

“Kalau dah salah, sama ada dia artis atau agamawan atau sesiapa sahaja, boleh ditegur untuk kebaikan semua.

“Saya tak tuju pada siapa-siapa. Cuma dalam hal ini, saya bersetuju dengan pandangan Thaqib,” ujarnya.

Sebelum ini tular isu agamawan yang suka menegur kesilapan artis-artis secara terbuka dan seolah-olah mengajak netizen membenci artis. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas