PERANAN dan tanggungjawab seorang bapa bukannya satu kerja mudah. Penuh dengan ranjau, onak dan durinya.
Turut memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga, bukanlah satu perkara mudah bagi kaum bapa. Mereka sebenarnya mempunyai banyak tanggungjawab dalam memimpin sebuah keluarga yang harmoni.
Susulan daripada itu, berilhamkan filem Papadom bergenre komedi drama yang ditayangkan pada 2009, Datuk Afdlin Shauki kini muncul dengan novel Papadom.
Afdlin yang juga pelakon serta penulis skrip mahu berkongsi ‘rasa’ Papadom tersebut dengan seluruh rakyat Malaysia yang mungkin terlupa jasa seorang hero dalam kehidupan kita semua.
“Cerita Papadom ni saya tulis kerana sebagai seorang ayah ada rasa kesal dalam diri saya kerana tak dapat menjadi ayah yang terbaik dan saya mula berfikir tentang ciri-ciri ayah yang terbaik yang saya mahukan.
“Watak Saadom (dalam filem Papadom) melambangkan kebanyakan bapa di dunia ini yang mempunyai dilema yang sama.
“Bapa yang menyayangi keluarganya dan hendak memberikan kehidupan yang baik kepada keluarganya. Jadi dia bekerja keras untuk keluarga sehingga tak dapat meluangkan masa bersama keluarga yang dicintainya itu,” katanya.
Menurut Afdlin menerusi sinopsis novel tersebut, situasi atau dilema itu menjadi antara punca berlakunya ketidakseimbangan dalam sesebuah keluarga sehinggalah satu masa yang mengubah segala-galanya.
“Tiadanya keseimbangan dalam kehidupan adalah antara sebab utama permasalahan dalam keluarga. Selalunya manusia berubah bila ada satu insiden besar yang menyentap kehidupan mereka.
“Sewaktu bermain scrabble dengan isteriku, aku melihat raut wajahnya dan bertanya pada diri ini, kalau sesuatu berlaku pada dirinya apakah aku mampu untuk mengambil alih tugasan beliau sebagai ibu kepada anak-anakku.
“Mampukah aku mencari rezeki dan memberi kasih sayang serta jagaan seperti isteriku? Persoalan itulah yang mencetus idea bagi naskhahku Papadom.
“Sebagai ibu bapa, kita tak dilahirkan dengan buku manual bagaimana nak menjadi ibu bapa yang baik, akan tetapi, kita kena percaya yang Allah SWT akan sentiasa ada bersama kita dan memberi pengajaran yang terbaik bagi diri kita.
“Kita mesti berani melangkah masuk ke alam Papadom dan hadapi segala dugaan dan cabaran-Nya. Semoga buku ini memberi manfaat kepada bapa-bapa, ibu-ibu untuk mengenali perangai bapa-bapa dan untuk anak-anak, agar mereka tahu yang walau apa pun berlaku mereka adalah permata yang tak ternilai di hati bapa mereka,” tambahnya lagi.
Istimewa buat semua peminat, Afdlin akan melancarkan novelnya Papadom secara rasmi di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 1 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Orang ramai dijemput hadir! – WILAYAHKU