PELAKON, pengarah dan aktivis seni, Datuk Afdlin Shauki Aksan mencipta kejutan apabila menewaskan penyandang jawatan, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam perebutan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa bagi pemilihan parti 2025.
Dalam keputusan rasmi Borang 14 yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Afdlin memperoleh 631 undi, menewaskan Nik Nazmi yang meraih 563 undi, dengan jumlah pengundi keluar mengundi seramai 1,207 orang daripada 1,640 pemilih berdaftar.
Kemenangan itu menyaksikan Afdlin mengatasi tokoh muda berprofil tinggi dalam parti itu yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Kemenangan Afdlin sebagai satu tamparan buat kem penyandang, selain mencerminkan perubahan arus sokongan akar umbi Cabang Setiawangsa yang mahukan kepimpinan baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pemilihan di Wilayah Persekutuan berlangsung lancar dengan semangat demokrasi dan persaingan sihat walaupun beberapa cabang menyaksikan pertembungan tokoh-tokoh ternama dalam parti.
Keputusan ini dijangka memberi impak kepada dinamika politik PKR Wilayah Persekutuan, khususnya dalam strategi mobilisasi pengundi bandar dan pengukuhan pengaruh cabang di peringkat nasional.-WILAYAHKU