Berita

Aeril Zafrel, Wawa Zainal hadiahkan dua kondominium sempena hari lahir anak

- Diterbit 2 Disember 2024 2:52 PM MYT

PASANGAN pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal menghadiahkan dua kondiminium sempena hari lahir dua anaknya Soffya dan Fahri sebagai persediaan masa depan mereka.

Wawa, berkata kediaman berkenaan dibeli hasil daripada perniagaannya.

Wawa berkongsi perkara itu pada majlis pelancaran Wawa Mummy Baby Sunscreen Set di Bangi Golf Resort, Selangor baru-baru ini.

“Kami memang sediakan rumah untuk setiap anak-anak. Selain rumah, kami juga membuat simpanan pendidikan dan kecemasan untuk mereka.

“Simpanan dibuat sejak mereka kecil. Contohnya kami membuat tabungan untuk anak sulung kami, dari kecil sampailah umurnya 11 tahun kami tak pernah gagal menyimpan.

“Sedar tak sedar duit simpanan mereka sudah banyak dan silap-silap apabila dewasa, mereka sudah bergelar jutawan,” kata Wawa.

Aeril dan Wawa mendirikan rumah tangga pada 2013.

Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar , 11, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 8, Ayya Sofia, 4, dan Muhammad Fahri, 3 tahun.

Dalam perkembangan lain, Wawa teruja melancarkan produk terbaharunya iaitu Wawa Mummy Baby Sunscreen Set, Sunkids.

Sebanyak 100,000 produk pelindung cahaya matahari untuk kanak-kanak diedarkan secara percuma.

Setiap set pembelian produk sunscreen untuk orang dewasa, akan mendapat satu produk Sunkids bersaiz kecil secara percuma.

“Kami keluarkan produk pelindung cahaya matahari untuk kanak-kanak kerana sesetengah ibu-bapa di luar sana ragu-ragu untuk memberi anak mereka memakai produk orang dewasa.

“Produk sunscreen dewasa keluaran kami bukan tidak selamat tetapi mungkin ada sesetengah kanak-kanak yang alah memakai produk dewasa, jadi kami formulasi produk dengan penggunaan bahan-bahan mineral yang lebih selamat,” katanya.

Sunkids menggunakan bahan mineral yang selamat seperti aloe vera, zink oxide, shea butter dan lain-lain bahan yang selamat untuk anak kecil termasuk mereka yang berkulit sensitif.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas