Selebriti

Aeril Zafrel sanggup jual Lamborghini Aventador demi Palestin

Aeril Zafrel & Wawa Zainal. Foto kredit: Sosial Media
- Diterbit 26 Oktober 2023 10:25 PM MYT

Oleh DEEL ANJER

AERIL Zafrel antara selebriti yang banyak menyumbang kepada tabung Palestin. Terbaharu, dia berjaya menjual kereta mewah Lamborghini Aventador miliknya dengan harga RM2.1 juta.

Menurut Aeril, 35, itulah antara pengorbanannya demi umat Islam di Palestin. Buktinya, sebahagian hasil jualan kereta turut disalurkan pada Misi Kemanusiaan di Gaza.

“Kereta ini saya guna sejak setahun lalu. Walaupun jarang dibawa berjalan, tapi ia tetap memberikan nilai sentimental. Apatah lagi ia adalah hadiah daripada isteri tercinta.

“Cuma bila memikirkan di rumah pun sudah ada beberapa kereta lain yang lebih kerap digunakan, saya ambil keputusan untuk jual Lamborghini ini. Isteri pun okay sahaja.

“Dalam masa sama, saya dah pasang niat kalau kereta ini terjual, sedikit hasilnya saya nak sumbangkan pada tabung bantuan kemanusiaan di Gaza. Insya-Allah, dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan di sana,” ujarnya yang sebelum ini turut menyumbang wang ke Tabung Palestin Yayasan Nurjiwa milik Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut Aeril lagi, impiannya untuk membeli kereta mewah itu sudah tercapai. Kini masanya untuk dia menjual dan membantu rakyat Palestin.

“Sebelum ini saya memang ada terfikir nak beli sendiri. Selalu juga tengok di Internet dan YouTube. Malah, pernah cakap pada isteri nak beli kereta ini. Waktu itu dia tidak membenarkan kerana masih banyak perkara dan komitmen lain perlu diselesaikan.

“Mungkin sudah saatnya dan dia pun beli. Saya pula jenis yang suka nak merasa, dua tiga tahun selepas itu tukar kereta lain pula. Sekurang-kurangnya dapat memenuhi impian,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas