Berita

Aedes betina kerap gigit

SEKITAR Program Pengumpulan Barang Kitar Semula sempena Hari Gotong Royong & Perangi Aedes di Kuarters Fasa 4B, Presint 8.
- Diterbit 27 Julai 2024 10:20 PM MYT

PIHAK Perbadanan Putrajaya (PPj) giat melakukan kerja pembersihan dan pencegahan bagi mengurangkan penularan kes demam denggi dan Chikungunya di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Menurut Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran PPj, Dr Mohd Helmi Abdul Hamid, pihaknya mengambil pelbagai alternatif dan langkah proaktif bagi membasmi kedua-dua penyakit itu.

“Antaranya adalah menghantar sepasukan petugas untuk melaksanakan semburan anti-larva di kawasan terjejas.

“Kami telah menyusun tugasan pembersihan untuk menghapuskan tempat pembiakan jentik dan membersihkan sampah pukal serta sisa pembersihan awam di lokaliti yang merekodkan kes.

“Penduduk dan komuniti Putrajaya diarahkan membersihkan tempat takungan air di dalam rumah bagi mendidik mereka tentang bahayanya demam denggi,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Helmi berkata pihaknya turut mengedarkan racun pemusnah jentik-jentik kepada wakil komuniti.

Beliau berkata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan taburan hujan dijangka berkurangan dan menjadikan cuaca lebih panas susulan Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan bahawa Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 17 Mei dan berterusan sehingga September 2024.

“Situasi panas dan kering ini boleh menyumbang kepada peningkatan populasi nyamuk aedes di persekitaran disebabkan kitaran hidup nyamuk dari fasa telur sehingga dewasa akan menjadi lebih pendek.

“Selain itu, nyamuk aedes betina akan menggigit dengan lebih kerap semasa cuaca panas untuk mendapatkan sumber protein iaitu darah bagi penghasilan telur,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk terus memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam dan luar rumah dengan melakukan aktiviti cari serta musnah tempat pembiakan sekurang-kurangnya 10 minit sekali seminggu.

“Saya berharap dengan inisiatif yang dilaksanakan bersama Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 3 Putrajaya (MPPSZP), kes dan wabak demam denggi di sekitar pusat pentadbiran kerajaan ini dapat dikurangkan,” ujarnya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas