Berita

ADUN Mahkota, Johor meninggal dunia

- Diterbit 2 Ogos 2024 2:58 PM MYT

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, dimaklumkan telah meninggal dunia.

Perkara itu dikongsi oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Facebooknya.

‎”Saya berasa amat sedih apabila menerima perkhabaran duka tentang pemergian‎ Sharifah

“Pemergian Sharifah atau lebih mesra dengan panggilan Ummi amat dirasai kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi. Jasa dan bakti beliau untuk Negeri Johor, khususnya DUN Mahkota tidak akan dilupakan,” katanya.

Pada Rabu lalu, Sharifah dilaporkan kritikal dan dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang, akibat pendarahan dalaman.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat, Haliza Abdullah, berkata beliau dimaklumkan keadaan Sharifah itu oleh beberapa Wanita UMNO Johor.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Kluang ialah bekas Ketua Wanita UMNO Johor.

Beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Sebelum itu, Sharifah Azizah ialah ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas